Thursday 12 July 2012

STRATEGI KOPERATIF DAN KOLABORATIF


STRATEGI KOPERATIF DAN KOLABORATIF

Secara umum, strategi koperatif dan kolaboratif memerlukan pelajar bekerjasama dalam kumpulan bagi mengatasi sesuatu masalah, memberi maklum balas dan berkomunikasi serta berinteraksi antara satu sama lain secara berstruktur.

Pembelajaran Koperatif (PK)


Banyak pendekatan pembelajaran koperatif diperkenalkan oleh beberapa tokoh terkenal seperti Kagan, Johnson & Johnson, Cooper, Graves & Graves, Millis dan Slavin. Modul ini memilih pembelajaran koperatif yang diperkenalkan oleh  Kagan (1988) untuk digunakan sebagai pendekatan utama. Walau bagaimana pun, pendekatan-pendekatan oleh tokoh-tokoh yang lain juga boleh diperkenalkan. Untuk tujuan kursus, modul ini melaksanakan cadangan pendekatan pelaksanaan strategi pembelajaran seperti yang ditunjukkan dalam Rajah  di bawah.





Rajah  : Cadangan Pelaksanaan Kursus Pembelajaran Koperatif (PK)

           

Definisi dan konsep


Pembelajaran Koperatif didefinisikan sebagai satu set proses yang membantu pelajar berinteraksi satu sama lain untuk mecapai satu matlamat khusus atau mendapatkan satu hasil akhir (end-product) yang  ada kaitan dengan isi kandungan mata pelajaran. Pendekatan berstruktur (structural approach) dalam pembelajaran koperatif oleh Kagan hasil daripada proses mencipta, menganalisis dan mengaplikasikan struktur (yang tidak terikat kepada isi kandungan pelajaran) secara sistematik termasuk cara-cara menguruskan interaksi sosial dalam bilik darjah.

Menurut Kagan (1998), dalam pembelajaran koperatif, aktiviti pembelajaran dikatakan wujud apabila struktur koperatif  yang disesuaikan dengan isi kandungan seperti yang diwakili oleh hubungan di bawah.
 

Struktur pembelajaran  +  Isi kandungan  =  Aktiviti.


Kagan telah menyenaraikan sekurang-kurangnya sebanyak lebih daripada 50 contoh struktur (dengan nama-nama yang tertentu)   yang dapat  disesuaikan dengan isi kandungan.

Struktur boleh digunakan mengikut tujuan tertentu – team building (kumpulan kecil), Classbuilding (satu kelas), Masteri, Kemahiran berfikir, Perkongsian Maklumat dan Kemahiran berkomunikasi.

Contoh dalam Rajah  di bawah menunjukkan bagaimana aktiviti dibentuk apabila struktur Roundtable digabungkan dengan isi kandungan (satu senarai nombor perdana atau contoh lain seperti haiwan jinak, kata adjektif)












Struktur-struktur koperatif boleh digabungkan dengan isi kandungan yang sesuai pada setiap peringkat pengajaran (set induksi, langkah perkembangan, penutup dan latihan).


Ciri-ciri utama pembelajaran koperatif.

Banyak kajian mendapati pembelajaran koperatif mempunyai banyak kelebihan, antaranya ialah dapat meningkatkan potensi pelajar dari segi
  • Pencapaian akademik
  • Kepekaan positif kepada kepelbagaian
  • Pemantapan kemahiran sosial

Pembelajaran Koperatif menggunakan peraturan bilik darjah yang mampu mewujudkan satu pasukan yang berkesan. Singkatan KISSES mewakili peraturan bilik darjah seperti yang diterangkan di bawah.

K         Keep with the group (Sentiasa dalam pasukan)
I           Include everyone  (libatkan semua ahli – elakkan passenger)
S          Share ideas and feelings (sedia berkongsi idea dan perasaan)
S          Stay on task (Sentiasa melakukan tugasan yang diberi)
E          Encourage others (Memberi galakan kepada rakan sebaya)
S          Six inch Voices ( perbincangan mesra kumpulan berberdua /
            berempat dalam  jarak  lebih kurang 6 inci.)

Konsep Utama Dalam Pembelajaran Koperatif


Terdapat  enam konsep utama dalam proses pembelajaran koperatif. Konsep ini merangkumi

  • Pasukan – ada visi, berstruktur untuk perkembangan minda positif,
  • Kemahiran sosial
  • Pengurusan (termasuk isyarat senyap)
  • Prinsip PIES
  • Keazaman / kemahuan (willingness) untuk bekerjasama
  • Struktur-struktur (Kagan)


Prinsip PIES (salah satu konsep pembelajaran koperatif) ialah

  • P  Pergantungan positif (Positif interdependence)
  • I   Akauntabiliti individu (Individual accountabilitiy)
  • Penglibatan seimbang/sama (Equal participation)
  • Interaksi serentak (Simultaneous interaction)

Mengikut Kagan, tidak semua aktiviti berkumpulan boleh digolongkan sebagai pembelajaran koperatif melainkan struktur yang digunakan memenuhi keempat-empat prinsip yang tersebut di atas.

Suasana pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan melalui pembelajaran koperatif melalui

  • Bilik darjah yang demokratik
  • Memberi ‘Empowerment ‘ kepada pelajar
  • Peranan guru sebagai fasilitator dan mentor


Ciri-ciri Pembelajaran Koperatif
Terdapat pelbagai pendapat mengenai ciri-ciri pembelajaran koperatif.
Slavin (1990) berpendapat, pembelajaran koperatif hanya berkesan apabila ia mempunyai tiga ciri berikut: ganjaran kumpulan, tanggungjawab individu dan peluang yang sama untuk berjaya.  
Johnson & Johnson (1994) pula menggariskan lima ciri pembelajaran koperatif. Ciri-ciri tersebut adalah matlamat kumpulan, peranan ahli, interaksi, kemahiran berkumpulan dan penilaian kumpulan.
Ganjaran kumpulan:
Pelajar akan diberikan ganjaran apabila kumpulan mereka mencapai sesuatu kriteria tertentu tanpa ada sebarang persaingan antara sesama kumpulan. Ganjaran kumpulan menjadikan pelajar lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan.
Tanggungjawab individu:
Tanggungjawab individu bermaksud semua ahli kumpulan bertanggungjawab menentukan kejayaan sesuatu kumpulan. Ini akan mendorong pelajar membimbing rakan-rakan sekumpulan dan semua ahli bertanggungjawab menguasai pelajaran.
Peluang yang sama untuk berjaya:
Ia merujuk kepada pencapaian pelajar diukur berdasarkan peningkatan prestasi masing-masing. Oleh itu, semua pelajar berpeluang meningkatkan pencapaian kumpulan mereka tanpa mengira tahap kebolehan masing-masing.
Matlamat kumpulan:
Pelajar mesti bekerjasama dalam satu kumpulan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Tanpa kerjasama antara ahli, sesuatu kumpulan tidak dapat mencapai matlamat tersebut.

Peranan ahli:
Ia merujuk kepada tanggungjawab individu dan kumpulan, iaitu sesebuah kumpulan bertanggungjawab mencapai matlamatnya dan setiap individu bertanggungjawab memberi sumbangan kerja yang sepatutnya.
Interaksi:
Pembelajaran koperatif seharusnya menggalakkan interaksi, sebaik-baiknya secara bersemuka. Pelajar melakukan kerja secara bersama melalui perkongsian bahan, saling tolong-menolong dan memberi galakan antara satu sama lain.
Kemahiran berkumpulan:
Pelajar perlu disediakan dengan kemahiran bersosial dan kemahiran untuk bekerja secara berkumpulan. Kedua-dua kemahiran ini perlu bagi membolehkan sesebuah kumpulan berfungsi dengan baik. Contohnya, kemahiran menguruskan sebarang konflik yang timbul di dalam kumpulan.
Penilaian kumpulan:
Dalam penilaian kumpulan, ahli kumpulan berbincang dan menganalisis setakat mana kumpulan mereka mencapai matlamat yang dikehendaki. Pelajar mengenal pasti tindakan dan tingkah laku yang perlu diperbaiki atau dihentikan.
Prinsip-prinsip Pembelajaran Koperatif
Dalam menerangkan prinsip-prinsip pembelajaran koperatif, terdapat dua model yang boleh dijadikan rujukan. Model-model tersebut adalah model yang dihasilkan oleh Johnson & Johnson dan model Kagan. Topik ini akan menfokuskan kepada prinsip-prinsip pembelajaran koperatif mengikut model Kagan.
PIES merupakan prinsip-prinsip pembelajaran koperatif mengikut model Kagan. Apakah PIES? Klik pada setiap huruf di bawah untuk penerangan lanjut.


Positive Interdepence (Saling Kebergantungan Secara Positif):
Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama. Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Saling bergantungan secara positif yang kuat di dalam sesuatu kumpulan akan menjadi motivasi kepada setiap ahli untuk berjaya.

Individual Accountability (Akauntabiliti Individu):
Bagi menilai akauntabiliti individu setiap ahli kumpulan, satu tugasan akan diberikan kepada kumpulan tersebut. Pencapaian kumpulan akan dinilai mengikut sumbangan setiap individu. Setiap ahli akan menerima markah mengikut sumbangan / idea mereka.
Equal Participation (Penglibatan Sama Rata):
Penglibatan yang sama rata di antara ahli kumpulan boleh dicapai melalui pembahagian/urutan tugasan. Dengan cara ini, setiap pelajar diberi peluang untuk mengambil bahagian dan memberi idea. Cara ini menjadikan setiap pelajar bertanggungjawab dan menglibatkan mereka secara sama rata.
Structure (Struktur):
Terdapat banyak struktur dalam model Kagan dimana setiap satunya mempunyai kegunaan dan kepentingan masing-masing. Pengetahuan mengenai struktur-struktur ini dan cara pelaksanaanya memerlukan pemahaman dan latihan yang berulang-ulangan. Anda akan mempelajari mengenai struktur-struktur ini dalam mukasurat seterusnya.
Model Johnson & Johnson menggariskan 4 prinsip pembelajaran koperatif:

1. Positive Interdependence (Saling Kebergantungan Secara Positif)
Pelajar seharusnya beranjak dari sifat bergantung kepada sifat berdikari dan seterusnya ke tahap saling kebergantungan. Saling kebergantungan wujud apabila pelajar menganggap bahawa ia memerlukan usaha orang lain untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Walaupun seseorang pelajar berdikari tetapi tahap kecemerlangan yang lebih tinggi cuma boleh dicapai melalui usaha, input dan sinergi orang lain.

2. Individual Accountability (Akauntabiliti Individu)
Walaupun setiap pelajar dikehendaki bekerjasama dalam sesuatu tugasan, ia adalah bertanggungjawab atas pencapaiannya sendiri. Penilaian boleh dibuat secara individu.

3. Group Interaction (Interaksi Kumpulan)
Pelajar-pelajar memajukaan pembelajaran pelajar lain dengan membantu, mengkongsi dan menggalakkan usaha pembelajaran. Interaksi kumpulan termasuk tindakan pelajar untuk menerangkan, membincang dan mengajar apa yang diketahui kepada orang lain.


4. Social Skills (Kemahiran Sosial)
Agar pembelajaran koperatif berkesan, guru mesti mengajar kemahiran sosial kepada pelajar. Kemahiran-kemahiran tersebut merangkumi kepimpinan, membuat keputusan, membina kepercayaan, komunikasi dan pengurusan konflik.
Struktur-struktur Pembelajaran Koperatif
Setiap prinsip dalam pembelajaran koperatif model Kagan boleh dicapai menerusi salah satu dari kemahiran-kemahiran di bawah:
1.  Think-Pair-Share

Pelajar akan diberi satu soalan dan diberi masa untuk memikirkan jawapannya
secara bersendirian untuk jangkamasa tertentu. Kemudian, secara berpasangan,
mereka akan membandingkan jawapan-jawapan mereka dan
mempersembahkannya di dalam kelas.

2. Round Robin

Di dalam struktur ini, setiap pelajar memberikan idea setiap kali sampai giliran
mereka.

3. Persemukaan (Trade a Problem)

Di dalam struktur ini, setiap pasukan memerlukan satu set soalan yang ditulis
pada kad. Sebelah depan kad yang mengandungi soalan dilabelkan sebagai “S”
dan bahagian belakang kad yang mengandungi jawapan dilabelkan sebagai “J”.
Ahli kumpulan A akan menayangkan “J” apabila tiada jawapan tepat yang
diterima dari kumpulan B.

4. Pembahagian tugas (Assigning Roles)
Di dalam struktur ini, setiap ahli diberikan peranan masing-masing, contohnya,
pencatat idea, memanjangkan idea kumpulan kepada kumpulan lain dan
sebagainya.


 Konsep dan Prinsip dalam Pembelajaran Koperatif

Pengintegrasian pembelajaran koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan melalui proses perancangan, pengendalian, pengurusan dan penilaian yang ditunjukkan dalam Rajah  di bawah.






Ringkasnya, pembelajaran koperatif mengganggap kejayaan insan bukan tertakluk kepada kecemerlangan  akademik semata-mata. Perkembangan kecerdasan intelektual(IQ), sosial dan afektif (EQ) merupakan teras bagi pembelajaran koperatif melalui amalan interaksi kumpulan yang berkesan. Pembelajaran koperatif menyediakan gelanggang bagi pelajar mengalami dan membina realiti hidup dalam era sains dan teknologi yang pesat berkembang. Di samping membentuk ‘independent thinkers’, pembelajaran koperatif juga berusaha ke arah membentuk kemahiran berinteraksi, hormat-menghormati dan berkomunikasi secara positif dalam masyarakat

Berasaskan kepada ‘brain-based learning’, gaya pembelajaran dan kecerdasan pelbagai, pembelajaran koperatif menganggap bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk berjaya. Kejayaan adalah tanggungjawab bersama antara individu, rakan sebaya dan unsur-unsur dalam persekitarannya. 


Secara amnya, cadangan prosedur pelaksanaan bagi setiap struktur koperatif yang dinyatakan di atas akan melalui proses seperti yang ditunjukkan dalam Rajah  di bawah.





















Masa untuk mengendalikan sesuatu struktur adalah fleksibel. Adalah diharapkan peserta dapat didedahkan dengan seberapa banyak struktur yang dapat sesuai dengan mata pelajaran masing-masing. Untuk meningkatkan kemahiran ini, peserta diharap dapat belajar secara terarah kendiri.



 PEMBELAJARAN KOLABORATIF


Strategi pembelajaran kolaboratif merupakan salah satu strategi yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bestari. Walaupun ada persamaan dalam beberapa aspek tetapi pembelajaran kolaboratif berbeza daripada pembelajaran koperatif. Pembelajaran kolaboratif mempunyai ciri-ciri utama, antaranya, seperti berikut;

  • Perkongsian maklumat antara guru dan murid atau murid dan murid – cth maklumat hasil carian internet dikongsi bersama.
  • Perkongsian kuasa antara guru dan murid – empowerment kepada murid menentukan objektif sesuatu tugasan setelah dipersetujui oleh guru, menggunakan kreativiti mereka menyiapkan tugasan seperti menggunakan pengurusan grafik  dll.
  • Guru sebagai mediators – bantu murid mengaitkan maklumat baru yang diperolehi dari usaha kolaboratif dengan pengalaman dan pemindahan kepada situasi baru.
  • Kewujudan personaliti dan harga diri positif hasil perkongsian maklumat sesama rakan sebaya dan guru.

Perbezaan di antara pembelajaran koperatif dan pembelajaran kolaboratif ditunjukan dalam jadual di bawah.



Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran Kolaboratif
Satu strategi pembelajaran berteraskan pasukan kecil. Setiap murid bertanggungjawab tentang pencapaian diri sendiri dan membantu ahli kumpulan

Berasaskan kepada idea bahawa pembelajaran adalah satu tingkah laku sosial. Pembelajaran berlaku melalui perbincangan atau komunikasi fizikal atau virtual.
Pergantungan positif setiap ahli dalam menentukan kejayaan pasukan.
Tiada ‘kontrak’ / pergantungan dalam kolaborasi bersama.
Peranan guru sebagai fasilitator, menstrukturkan dan  memantau aktiviti pasukan mencapai objektif.
Tidak memerlukan pemantauan guru dan tidak berstruktur.

Hasil secara kumpulan
Hasil secara individu.


Lawat laman web berikut http://www.ncbe.gwu.edu/ncbepubs/directions/12.htm -

What Is the Collaborative Classroom? untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Bibiliografi Pembelajaran Koperatif dan Kolaboratif

1.    Dewey, J. (1916). Democracy and Education, New York: Macmillan

2.    Johnson, D. W., and Johnson, F.P. (1994). Joining Together : Group Theory and Group Skills (4th ed.). Englewood Cliffs, N.J.: Prentice Hall.\

3.    Laura K. (1997). Discovering Decimal Through Cooperative Learning.

4.    Spencer Kagan (1988). Coperative Learning: Resources for Teachers.


Laman Web Yang berkaitan


1.         http://college.hmco.com/education/pbl/tc/coop.html

2.         http://www.winona.edu/fdc/_TheWell/00000001.htm

3.         http://volcano.und.nodak.edu/vwdocs/msh/llc/is/cl.html

4.         http://chiron.valdosta.edu/whuitt/col/instruct/cooplrn.html

5.         http://www.cde.ca.gov/iasa/cooplrng2.html

6.         http://www.ed.gov/databases/ERIC_Digests/ed422586.html

7.         http://chd.gse.gmu.edu/immersion/knowledgebase/strategies/constructivism
             /collaborative.htm
8.             http://www.ncbe.gwu.edu/ncbepubs/directions/12.htm
9.         http://teaching.berkeley.edu/bgd/collaborative.html


Pembelajaran Koperatif


PENGENALAN

Falsafah Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti merupakan asas utama dalam pembelajaran koperatif. Tokoh pendidik seperti Johnson and Johnson (1991), Slavin (1984) dan Kagan (1988) telah memperkenalkan dan mempertingkatkan strategi pembelajaran ini untuk digunakan di institusi pendidikan. Aktiviti dalam pembelajaran koperatif secara menyeluruh mengintegrasikan pembelajaran masteri, mengaplikasikan teori kecerdasan pelbagai, kemahiran berfikir, mengaplikasikan kemahiran belajar selain dari mengukuhkan kemahiran sosial. Pengintegrasiaan  aspek pembelajaran yang terbentuk dalam pembelajaran koperatif ini sesuai dilaksanakan dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat pengajian tertiari.

Pengalaman pembelajaran yang dilalui oleh pelajar akan membantu  mereka mewujudkan kebebasan dalam menentukan corak hidup dan menangani cabaran masa depan secara positif. Struktur Pembelajaran Koperatif, jika dilaksanakan dengan baik, diharapkan  dapat memberi impak  ke atas pelajar kerana keistimewaannya memupuk keyakinan, kesaksamaan  dan kepuasan dalam pembelajaran .

Keistimewaan Pembelajaran Koperatif
Sebagai pendidik kita perlu menyediakan pelajar untuk lebih berani, yakin dan berwibawa dalam menghadapi suasana di sekolah dan dalam kehidupan. Untuk itu kita perlu melihat semula  fungsi sekolah dalam komuniti. Ia bukan sahaja sebagai  institusi untuk menjalankan peranan sosialisasi dalam masyarakat malah sekolah diletakkan  sebagai agen perubahan yang utama untuk masyarakat setempat dan negara.

Perubahan Dalam Amalan Sosialisi
Pada masa ini kita tidak boleh mengelakkan diri dari berinteraksi di antara satu sama lain kerana sebagai ahli dalam masyarakat, kita perlu memainkan peranan dan tanggungjawab dengan rapi untuk memenuhi keperluan kehidupan  dan untuk hidup sejahtera. Berdasarkan situasi dunia yang semakin mencabar, pelajar perlu didedahkan dengan keinginan untuk berdaya saing dan untuk mencapai tahap yang yang tinggi dalam apa yang diceburi. Mereka perlu mewujudkan mekanisma untuk  bekerjasama di antara  satu sama lain di samping lebih peka dan kreatif.  Apabila mereka menceburkan diri dalam alam pekerjaan kelak, mereka tidak boleh lari dari melakukan rutin harian bersama dengan orang lain yang mungkin berbeza dari segi latar belakang dan budaya. Justeru, situasi di sekolah amatlah sesuai untuk ditanam dan dipupuk inisiatif untuk koperatif, saling bekerjasama dan bantu membantu sebagai persediaan dalam kehidupan di masa hadapan.

Ekonomi Yang Berpusatkan  Sumber Manusia
Dalam senario perubahan pengeluaran ekonomi kepada berteknologi tinggi dan dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, keperluan perhubungan interpersonal harus diberi penekanan supaya kemahiran teknologi terus dapat disebarkan. Penyebaran informasi  melalui teknologi maklumat dan komuniksai mementingkan kepakaran dalam perkembangan mengurus personalia dalam latihan dan perkembangan kaki tangan. Dalam usaha ini sekolah, khususnya guru berperanan untuk menyediakan pelajar dalam kemahiran tersebut. Pembelajaran koperatif merupakan salah satu strategi pengajaran pembelajaran yang sesuai untuk membantu dalam usaha ini.

Keperluan Generasi Di alaf Baru

Sekiranya generasi akan datang mahu berubah sikap kepada yang lebih rasional, beretika, hormati-menghormati dan bantu-membantu dalam mencapai kemajuan masyarakat  bangsa dan negara, adalah dicadangkan suasana pengajaran pembelajaran bilik darjah mengadaptasikan strategi koperatif, situasi bantu-membantu (interdependent), menyusun penggunaan masa dengan berkualiti selain dari bersaing dan pembelajaran secara individu. Keadaan dunia yang bertambah kompleks, keadaan masa depan sosial dan ekonomi yang sentiasa berubah memaksa kita membimbing generasi muda supaya lebih fleksibel dan boleh mengadaptasi kepada keadaan baru dan tidak mudah terkeliru.

Brain-based Learning

Teori brain-based learning menghubungkaitkan  prinsip bahawa pembelajaran akan lebih bermakna jika pelajar mengaitkan apa yang dipelajari dengan pengalamannya. Ini bermakna pembelajaran akan terhasil apabila ada kesepaduan fungsi minda dan otak . Pelaksanaan Strukur Pembelajaran Koperatif  mementingkan kerja dalam pasukan dan aspek ini memerlukan penggunaan minda secara aktif untuk mencapai hasil pembelajaran secara bekerjasama. Kita lihat kebanyakan struktur pembelajaran koperatif mengaplikasikan teori kecerdasan pelbagai dan mengasah kemahiran berfikir di kalangan pelajar.

Kenapa Berstruktur
Dalam pembelajaran koperatif pelaksanaan  diatur secara berstruktur untuk menyampai input dalam sukatan. Pembelajaran berlangsung berprinsipkan P.I.E.S
(Positive Interdependence ; Individual Accountability ; Equal Participation dan Simultaneous Interaction). Kesemuanya dilaksanakan sama ada dalam pasangan, pasukan berempat atau antara pasangan dan antara pasukan. (Nota: istilah yang digunapakai ialah pasukan (team) bukan kumpulan (group). Pasukan mestilah dibentuk secara heterogen (contohnya pelbagai pencapaian, pelbagai latar belakang budaya, campuran jantina dan pelbagai etnik). Pelaksanaan aktiviti dikawal mengikut masa yang ditetapkan, diatur supaya peluang pembelajaran adil dan telus (equal and accountable) dan ada pengukuhan yang jelas.

Brain Breaks

Di samping diisi dengan aktiviti untuk pengajaran pembelajaran, Struktur Pembelajaran Koperatif menggalakkan pelajar diberi ruang untuk melakukan akitviti kinestetik, mengadunkan unsur muzikal, puitis dan teater untuk mengelakkan pelajar berasa bosan di dalam kelas. Mereka akan merasa satu injeksi  semangat dan pemupukan emosi apabila mereka direhatkan sebentar dengan input dan aktiviti yang ringan dan  menyeronokkan.

Walau bagaimanapun diharapkan pembelajaran koperatif tidak diolah untuk mewujudkan persaingan yang tidak sihat di kalangan pelajar. Kalau tidak mereka akan lebih bertumpu kepada berlumba untuk berjaya bukan bekerjasama untuk berjaya. Mereka akan terbawa dengan nilai tradisi untuk bersaing seperti keinginan untuk mencapai kejayaan berlandaskan pencapaian sosio-ekonomi bukan berdasarkan kejayaan berdasarkan strategi koperatif yang luhur.
Harus diingat fasilitator haruslah juga bijak dalam mengolah dan menghubungjalinkan struktur ini dengan strategi dan teknik pengajaran pembelajaran lain  yang sesuai untuk memastikan pengajaran pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah berkesan dan mencapai hasil pembelajaran.


KESAN PEMBELAJARAN KOPERATIF


1. Pencapaian Akademik
Kajian menunjukkan pembelajaran koperatif membantu meningkatkan pencapaian akademik merentas tahap umur, mata pelajaran dan dalam sebahagian besar tugasan berbanding dengan pembelajaran secara persaingan dan individu (David and Roger Johnson, 1981; Robert Slavin, 1983b). Dalam 46 kes kajian eksperimen Slavin, 63% menunjukkan pencapaian kejayaan akademik menonjol melalui pembelajaran koperatif, 33% menunjukkan tiada perbezaan. Kejayaan yang dicapai melalui cara pembelajaran tradisional hanyalah 4% sahaja. Ini jelas menujukkan korelasi antara pembelajaran koperatif  dan pencapaian akademik.



2. Hubungan etnik
Peningkatan dalam hubungan etnik boleh diwujudkan melalui pembelajaran koperatif. Kajian Kagan  ke atas 1000 orang pelajar  dengan menggunakan 1 juta data telah membuktikan peningkatan perhubungan etnik  (Kagan and Associates, 1985).


RUMUSAN

Bidang pendidikan pada masa ini antara bidang yang kerap terdedah kepada kontroversi dan bahan perdebatan umum. Dalam masa yang sama kumpulan pendidik tidaklah harus berdiam diri andainya ada aspek tertentu dalam pendidikan yang menjadi bahan perbincangan umum. Meningkatkan profesionalisme dalam core business perguruan iaitu pelaksanaan pengajaran pembelajaran harus dikira sebagai tanggungjawab utama. Oleh itu, para pendidik dicadangkan menyesuaikan struktur pembelajaran koperatif dalam aktiviti dalam dan luar bilik darjah  agar pembelajaran berlangsung dengan aktif, seronok di samping meneroka unsur kerjasama positif, unsur ketelusan, unsur pengdemokrasian dan unsur saling berinteraksi dalam pembelajaran.

KONSTRUKTIVISME


Apa yang dimaksudkan dengan konstruktivisme?

Konstruktivisme adalah suatu proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda seseorang murid. Konstruktivisme juga merupakan satu kepercayaan  bahawa pembelajaran bermula daripada pengetahuan dan pengalaman yang tersimpan dalam storan memori atau struktur kognitif murid.

Ilmu pengetahuan sebenarnya tidaklah boleh dipindahkan daripada guru kepada murid seperti memindahkan barang dari satu bekas kebekas yang lain. Seseorang murid itu perlu membina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran berlaku daripada hasil usaha murid itu sendiri dan tidak mungkin berlaku dimana seseorang guru itu boleh belajar untuk muridnya. Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran tetapi realiti yang diketahui oleh murid adalah realiti yang dia bina sendiri. Sesungguhnya murid telah pun mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.

Dalam proses membantu murid membina atau menerima sesuatu idea atau konsep baru, guru perlulah mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka atau apa yang dikatakan sebagai pengetahuan sedia ada murid. Apabila maklumat baru telah dapat disesuaikan dan diterima untuk dijadikan pegangan kuat mereka, barulah suatu kerangka baru tentang sesuatu Iimu Pengetahuan itu dapat dibina. Proses inilah yang dinamakan sebagai Konstruktivisme.

Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua pekara, di mana ada yang betul dan ada yang salah. Jika kefahaman dan miskonsepsi ini dibiarkan atau tidak diperbetulkan dengan baik, kefahaman dan pegangan asal mereka itu akan tetap kekal.

John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Apakah peranan guru dalam pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Pendekatan Konstruktivisme?

Dari perspektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme peranan guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara melaksanakan kurikulum. Perspektif ini akan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kebolehan murid meniru dengan tepat apa yang disampaikan oleh guru kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpukan kepada kebolehan murid membina konsep berdasarkan kepada pengalaman yang aktif. Ia juga akan mengubah tumpuan penyelidikan daripada pembinaan model daripada kaca mata guru kepada pembinaan idea atau konsep daripada pengalaman murid. Perubahan juga dapat dilihat daripada pengajaran secara deduktif kepada pengajaran secara induktif.

Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme mementingkan guru dan murid memainkan peranan yang saling bersandar diantara satu sama lain.



             PERANAN  GURU                                    PERANAN  MURID
 

1. Guru tidak menganggap bahawa minda     Murid   tidak  mengangap     guru      sebagai           
    murid adalah seperti tin kosong yang         pembekal  maklumat  tetapi  sebagai   salah     
    perlu diisikan dengan fakta dan pengeta    satu sumber pengetahuan untuk membantu 
    -huan baru.                                                  mereka mencari maklumat  dan menggalak-
                                                                       -kan mereka berfikir dan berkomunikasi.

2. Guru berperanan sebagai seorang              Murid  bertanggungjawab terhadap  segala
    fasilitator dan pembimbing.                       usaha  untuk mencari   pelbagai cara untuk
                                                                       memproses   maklumat dan  menyelesaikan
                                                                       masalah.

3. Guru berperanan sebagai pengurus bilik   Murid  berdisiplin  dalam membuat keputu
    darjah untuk menangani hal-hal disiplin   -san  sendiri untuk  melibatkan   diri  dalam 
    murid dengan sempurna.                           aktiviti  pembelajaran.     


Apakah ciri-ciri guru konstruktivisme?

Diantara ciri-ciri guru konstruktivisme adalah seperti berikut:
1. sentiasa memberi galakan dan boleh menerima pandangan, pendapat serta inisiatif pelajar.
2.  menggunakan data dan maklumat asal yang belum diproses serta menggunakan bahan-bahan yang membawa kearah kemahiran manipulatif, interaktif dan kemahiran fizikal.
3. dalam membuat rangka kerja, biasanya menggunakan terminologi kognitif seperti pengkelasan, analisis, meramal dan merekacipta.
4. memberi peluang kepada pelajarnya berinteraksi untuk menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran, menukar arahan dalam strategi dan mengubahsuai isi pelajaran.
5. mengenalpasti kefahaman murid terhadap sesuatu konsep terlebih dahulu sebelum kefahamannya dikongsikan. 

6.  menggalakkan pelajar-pelajarnya untuk berdialog , samaada dengan guru atau sesama mereka.
7.  menggalakkan penggunaan kaedah inkuari dikalangan pelajar dengan mengemukakan soalan yang menekankan kemahiran berfikir, “open-ended questions” dan menggalakkan pelajar untuk mengemukakan soalan sesama sendiri.
8.  melihat dan mengambil kira perkembangan respon pelajar diperingkat awal.
9. mengikat pelajar melalui pengalaman yang  mungkin tidak sama dengan hipotesis asalnya dan ini akan menimbulkan perbincangan.
10. memberi masa yang cukup selepas sesuatu soalan dikemukakan.
11. memperuntukkan masa yang sesuai untuk pelajar membina hubungan dan mewujudkan “metaphors”.
12. melatih keinginan semulajadi pelajar melalui kekerapan penggunaan model kitaran pembelajaran.  

Apakah strategi yang perlu digunakan?

Strategi yang perlu digunakan oleh seorang guru yang mengamalkan pendekatan konstruktivisme dalam pengajarannya bolehlah dirujuk kepada peta konsep dibawah.


PERSEKITARAN PEMBELAJARAN SAINS MEMUPUK PENCAPAIAN DALAM BIDANG SAINS : KAJIAN KES DI SK BAHAGIA, KUALA KRAI, KELANTAN




Oleh

Hj Zohari Muda
Pensyarah Cemerlang Sains


















Jabatan Sains
Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu,
Pengkalan Chepa, Kelantan.
Tahun 2010




PERSEKITARAN PEMBELAJARAN SAINS
MEMUPUK PENCAPAIAN DALAM BIDANG SAINS : KAJIAN KES DI SEKOLAH KEBANGSAAN BAHAGIA, KUALA KRAI, KELANTAN

Oleh
Hj Zohari Muda
Pensyarah Cemerlang Sains
Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu

1.0       PENDAHULUAN
      Persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah satu daripada keperluan dalam mempastikan kecemerlangan pencapaian dalam semua bidang akademik. Kajian ini adalah untuk  melihat hubungan antara persekitaran pembelajaran sains dengan pemupukan minat murid dalam bidang sains di SK Bahgian, Kuala Krai Kelantan.

2.0       LATAR BELAKANG SK BAHAGIA, KUALA KRAI
Setiap IPGM mempunyai sekolah angkat pedalaman masing-masing. Hal ini sejajar dengan hasrat Kementerian pelajaran Malaysia bagi merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan sekolah luar Bandar. Sehubungan itu, IPGM Kampus Kota Bharu telah memilih SK Bahagian, Kuala Krai sebagai sekolah angkat pedalaman. SK Bahagia, Kuala Krai adalah sebuah sekolah pesisir sungai yang terletak kurang lebih 135 km dari bandar Kota Bharu. Perjalanan dari Kota Bharu selama 1 ½ jam menaiki kereta, menaiki bot selama 45 minit dan kemudiannya berjalan kaki atau menumpang motorsikal atau lori sejauh 3 km. Rata-rata polupasi penduduk Kg Bahagia dan sekitarnya yang menghantar anak mereka belajar di SK Bahagia berpekerjaan sebagai penoreh getah dengan tahap pendidikan ibubapa yang rendah. IPG Kampus Kota Bharu diamanahkan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik UPSR SK Bahgia, dan saya telah dilantik sebagai penyelaras kecemerlangan Sains UPSR SK Bahagia.

3.0      PERMASALAHAN KAJIAN
     Pencapaian murid di sekolah pedalaman adalah bergantung kepada para guru dan para guru di SK Bahagia pula adalah terdiri dari para guru permulaan yang kurang pendalaman dalam pengajaran. Sekolah pedalaman juga ketinggalan dari segi kemudahan-kemudahan pembelajaran kondusif, khususnya dalam mata pelajaran sains. Pencapaian mata pelajaran sains UPSR di sekolah pedalaman adalah amat merosot, khsusnya di pedalaman negeri Kelantan.
Selaku Pensyarah Cemerlang yang terlibat secara langsung dalam meningkatkan kecemerlangan di SK Bahagia, saya telah berbincang dengan Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran (Akademik), Ketua Panitia Sains dan guru mata pelajaran sains untuk mewujudkan satu persekitaran pembelajaran sains secara komprehensif, kondusif dan menyeluruh bagi mewujudkan minat belajar sains di kalangan para murid.

4.0       OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini adalah untuk ;
4.1 melihat hubungan antara Persekitaran Pembelajaran Sains dengan  pencapaian murid dalam bidang sains UPSR SK Bahagia.
4.2 melihat hubungan antara minat belajar sains di kalangan murid dengan pembentukan persekitaran Pembelajaran Sains di SK Bahagia.

5.0       KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN
Kerangka Konseptual kajian adalah merujuk Rajah di bawah yang melibatkan satu penggabungan antara pengajaran dan pembelajaran sains secara formal dan tidak formal dalam mempastikan kecemerlangan mata pelajaran sains di SK Bahagia.




    Rajah 7.0 :  Kerangka Konseptual Kajian Persekitaran Pembelajaran Sains,      
                            SK Bahagia

6.0       PERSEKITARAN PEMBELAJARAN SAINS

Persekitaran Pembelajaran Sains (PPS) ditakrifkan sebagai satu persekitaran dalam pengajaran dan pembelajaran sains yang diwujudkan samada di sekolah atau di rumah bagi mewujudkan minat dan motivasi para murid untuk belajar mata pelajaran sains secara tekun dan bersungguh-sungguh dengan objektif akhirnya mencapai keputusan peperiksaan yang baik.
Persekitaran Pembelajaran Sains seperti kemudahan Sudut Sains, Taman Sains, Pusat Sumber Sains, Pusat Penerokaan Kendiri Sains (Self Acess Learning), Klinik Sains, Bicara Tokoh Sains dan Bank Soalan Sains amat kurang diberi perhatian di sekolah pedalaman. Pengajaran gurulebih bertumpu kepada kaedah pengajaran berpabdukan buku teks semata-mata tanpa mengambil kira faktor pesekitaran pembelajaran sains secara menyeluruh.

6.1 Sudut Sains

Sudut Sains ialah satu sudut yang disediakan di papan kenyataan belakang kelas dimanfaatkan dengan sumber-sumber maklumat pembelajaran sains. Ruangan suudut Sains ini akan dipenuhi dengan tampalan surat khabar dan lain-lain bahan pembelajaran yang sesuai. Satu jadual bertugas secara bergilir-gilir setiap minggu diwujudkan oleh guru sains kelas tersebut.

6.2 Taman Sains

Taman Sains ialah taman herba dan flora yang diwujudkan secara bersama-sama oleh murid dengan bimbingan guru sains dan pekerja am sekolah. Taman Sains ini merupakan suatu taman rehat yang boleh dimanfaatkan oleh murid pada waktu petang untuk mengulangkaji pelajaran.

6.3 Pusat Sumber Sains

Pusat Sumber Sains merujuk kepada satu sudut dalam Pusat Sumber Sk Bahagia yang dikhususkan kepada buku-buku sains yang meliputi buku-buku bacaan tambahan, buku-buku ulangkaji, buku-buku soal jawab mata pelajaran sains. Sudut ini dilabelkan bagi menarik minat para murid.

6.4 Pusat Penerokaan Kendiri Sains

Pusat Penerokaan Kendiri Sains merupakan satu pusat akses kendiri para murid menggunakan kemudahan computer dan jaringan internet yang disediakan oelh pihak sekolah. Pusat ekses kendiri sains ini berpusat di Makmal Komputer Sk Bahagia. Para murid dengan panduan para guru akan dididik untuk mengakses portal-portal pendidikan sains yang bersesuaian bagi mencari informasi sains dan bagi menarik minat mereka terhadap mata pelajaran sains.

6.5 Klinik Sains

Klinik Sains merujuk kesediaan guru meluangkan masa mereka pada waktu rehat selama dua hari seminggu iaitu pada hari Isnin dan Rabu di kantin sekolah bagi menjawab semua soalan berkaitan sains yang diajukan oleh murid.

6.6 Bicara Tokoh Sains

Bicara tokoh sains ialah program motivasi berterusan yang disediakan secara berkala dan berjadual dengan membawa tokoh sains seperti penceramah sains, guru cememerlang sains dari Pejabat Pendidikan Daerah atau jemputan khas yang dirasakan perlu dan sesuai. Program ini diadakan sebulan sekali dengan member fokus kepada murid tahun 4, 5 dan 6. Antara tokoh yang dibawa ialah Datuk Dr Syeikh Mudzafar Shukor (Angkasawan Negara), anak kelahiran Kg Bahagia yang menjadi Jurutera di Kuala Lumpur, Pegawai Sains dari JPN dan juga pegawi sains dari PPD.
Datuk Syeikh Mudzafar Shukor di bawa ke SK Bahagia semata-mata untuk meningkatkan motivasi sains para murid. Semua murid tahun 6 SK Bahagia diberi peluang untuk bersoal jawab dengan Datuk Syeikh Mudzafar tentang pengalamannya di angkasa lepas. Masing-masing murid menyatakan keseronokan mereka bertanya soalan kepada Datuk Syeikh Mudzafar.

6.7 Bank Soalan Sains

Bank Soalan Sains merujuk kepada koleksi soalan-soalan UPSR mata pelajaran sains yang disediakan oleh Panitia Sains SK Bahagia. Soalan ini dikumpulkan mengikut tahun dan juga melibatkan soalan-soalan percubaan dari sekolah-sekolah elit di Kota Bharu dan di luar Kelantan. Para murid tahun 6, boleh pada bila-bila meminjam soalan-soalan tersebut untuk tujuan ulangkaji.




7.0       PRESTASI 2009 SEBAGAI SUATU PENILAIAN PROGRAM
PERSEKITARAN PEMBELAJARAN SAINS, SK BAHAGIA

Prestasi UPSR 2008 dijadikan sebagai prestasi asas dengan peratus kelulusan adalah sebanyak 80 peratus. Setelah Persekitaran Pembelajaran Sains di perkenalkan, prestasi UPSR 2009 memperlihatkan kenaikan sebanyak 13.3 peratus, kepada 93.3 peratus. Manakala keputusan 2010 diharapkan member keputusan yang lebih baik.

Tahun
A
B
C
Bilangan Lulus
Bilangan Gagal
Peratus Lulus
Bilangan Calon
2008
(Sebenar)
1
6
17
24
7
80.0 %
31
2009
(Sebenar)
1
12
15
28
2
93.3 %
30
2010
(Target)
11
7
13
31
0
100 %
31

     JADUAL 1 :  Keputusan Mata Pelajaran Sains UPSR 2008 dan 2009,                 
                         SK Bahagia



8.0       KAJIAN MINAT MURID TERHADAP PEMBELAJARAN SAINS MELALUI  
           PROGRAM PERSEKITARAN PEMBELAJARAN SAINS, SK BAHAGIA

Soalan 1 : Adakah anda semakin minat belajar sains pada tahun ini (2009)  
                 berbanding pada tahun lepas (2008)

Minat / Sikap
Bilangan Murid
Semakin Minat
27
Sama Sahaja
3
Bertambah Berkurang Minat
0
Tidak Pasti
0
JUMLAH
30

      JADUAL 2 : Minat Murid Tahun Enam 2009 terhadap pembelajaran sains  
   kesan Program Persekitaran Pembelajaran Sains

Berdasarkan kajian, semua murid menyatakan minat terhadap mata pelajaran sains kedan daripada Program Persekitaran Pembelajaran Sains dengan seramai 27 orang murid menyatakan semakin bertambah minat mempelajari mata pelajaran sains.


Soalan 2 : Sila tandakan Program yang paling mambantu menambah minat
                 anda kepada mata pelajaran sains

Minat / Sikap
Paling Minat
Minat Kedua
Minat Ketiga
Susut Sains
2
2
3
Taman Sains
1
2
4
Pusat Sumber Sains
1
3
3
Pusat Akses Kendiri Sains
3
14
2
Klinik Sains
2
4
3
Bicara Tokoh Sains
18
2
3
Bank Soalan Sains
3
3
12
JUMLAH
30
30
30

JADUAL 3 : Senarai Minat Murid Tahun Enam 2009 Berasaskan Program 
                    Pembelajaran Sains

Daripada tiga pilihan utama, didapati seramai 18 orang murid menyatakan bahawa Bicara Tokoh Sains paling diminati. Hal ini mungkin disebabkan oleh kehadiran YBhg Datuk Dr Syeikh Mudzafar Shukor yang meluangkan masa dan bermesra dengan mereka. Pilihan kedua ialah Pusat Akses Kendiri Sains dan pilihan ketiga ialah bank soalan sains.
            Hal ini menunjukkan bahawa minat para murid untuk mempelajari mata pelajaran sains semakin meningkat dengan kemujudan Program Persekitaran pembelajaran Sains.

9.0       PENUTUP

Hasil daripada Program Persekitaran Pembelajaran Sains, para murid dilihat semakin minat untuk mempelajari mata pelajaran sains. Semoga keputusan UPSR 2010 yang akan diumumkan nanti akan menunjukkan hasil yang lebih baik.


10.0      BIBLIOGRAFI

Abdullah Mohd. Noor. 1986. Cabaran Profesionalisme Perguruan. Seminar Pendidikan Kebangsaan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.

Ismail Jusoh, dan Zuraida Ismail. 1996. Sikap dan Keyakinan Guru Sains Sekolah Rendah Terhadap Pengajaran Sains. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik. Bangi.

Mah, C. L. 2000. Keperluan Profesional di Kalangan Guru-Guru Sains Sekolah Rendah di Daerah Kemaman dan Implikasinya Terhadap Pendidikan Berterusan. Latihan Ilmiah. Fakulti Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohamed Rahmat, Abdul Ghaffar Md. Noor, dan Arbain Subki. 1995. Kajian Keperluan Latihan Guru-Guru Sains dan Pentadbir Sekolah Rendah Bahagian Bintulu, Sarawak. Projek Penyelidikan Peruntukan Agensi Pusat 1995. Bahagian Pendidikan Guru, KPM.

Noor Anisah Mahmudin. 2000. Masalah Pengajaran Sains KBSR di Sekolah-sekolah Rendah di Daerah Hulu Selangor. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Samsiah Shafii. 1999. Satu Tinjauan Terhadap Pengajaran Sains UPSR. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shaiful Anuar Mohamad Zamin. 1998. Pendidikan Sains KBSR: Satu Kajian Tentang Masalah Pengajaran di Sekolah-sekolah Rendah di Negeri Perak. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tamby Subahan Mohd. Meerah 1999. Dampak Penyelidikan Pembelajaran Sains Terhadap Perubahan Kurikulum. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.