Tuesday 10 July 2012

GURU BERKUALITI ASAS KEPADA PENGHASILAN MODAL INSAN UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA



Oleh:
 

Hj. Zohari bin Muda
Pensyarah Cemerlang, Jabatan Sains.


Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu,
Pengkalan Chepa, Kelantan.
Tahun 2010.

 
PENDAHULUAN
Salah satu matlamat Kementerian Pelajaran adalah untuk menjadikan pendidikan di negara ini "bertaraf dunia".   Ini merupakan satu reformasi pendidikan bagi menghadapi alaf baru.  Reformasi pendidikan ini amat perlu disegerakan kerana segala perubahan yang berlaku amat pantas terutamanya di dalam era teknologi maklumat.
Untuk merealisasikan matlamat Kementerian Pelajaran guru tentunya yang memainkan peranan utama dalam melonjakkan kualiti pendidikan.  Justeru usaha meningkatkan kualiti guru telah diberikan penekanan dalam setiap perancangan pembangunan pendidikan.   Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 telah memberi penekanan kepada peningkatkan kualiti guru melalui teras ke 5 iaitu memartabatkan profesion perguruan dengan memberi fokus kepada peningkatan kualiti guru melalui
·           menambah baik sistem pemilihan calon guru
·           memantapkan latihan perguruan
·           memantapkan kerjaya guru
·           menambahbaik persekitaran kerja dan kebajikan guru
·           memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia
Selaras dengan Bidang Tiga dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Areas), negara mensasarkan untuk memperbaiki pencapaian pendidikan dengan memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti. Justeru, negara perlu melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi. Modal insan yang dibangunkan perlu mempunyai keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri keperibadian unggul.
Dalam esei ini saya cuba menjelaskan peranan yang telah saya mainkan di peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu. Adalah telah terbukti bahawa menerusi pendekatan dan perancangan yang tersendiri saya telah dapat membantu IPG Kampus Kota Bharu melahirkan Guru Permulaan (khususnya dalam bidang sains) yang memiliki kompetensi yang tinggi bukan sahaja dalam aspek akademik dan kokurikulum tetapi juga dapat melahirkan modal insan yang mempunyai potensi optimum untuk pembangunan negara.


Telah banyak perubahan dan penambahbaikan yang disarankan oleh kerajaan dan ianya menuntut satu transformasi yang drastik untuk  mereformasikan sistem pendidikan negara.  Perubahan ini dapat meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan dan perkembangan sektor pendidikan secara umum. Reformasi sistem pendidikan negara adalah selaras dengan idea yang diilhamkan oleh Y.A.B. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke 5 dalam Forum Dialog Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 13 Januari 2004 seperti yang berikut
“... Saya percaya bahawa untuk memastikan aspirasi kita untuk menerapkan budaya pencapaian yang baru tidak terbantut oleh ketidakmampuan, kita membangunkan modal insan yang sepadan dengan tanggungjawab dan cabaran masa mendatang, apa yang kita perlukan adalah tidak kurang daripada suatu ‘revolusi pendidikan’...”

Ucapan Y.A.B. Perdana Menteri
dalam Forum Dialog Majlis Tindakan Ekonomi Negara
pada 13 Januari 2004

Reformasi ini juga merupakan kesinambungan falsafah pendidikan seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996 untuk melahirkan modal insan yang seimbang, harmoni, berpengetahuan dan berakhlak mulia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berikut menjadi asas kepada sistem pendidikan negara:  
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah  memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.
                                                                                 
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996

Pendidikan negara juga adalah sebagai pemacu kepada pembangunan ekonomi negara kerana ianya merupakan sumber atau kilang yang menghasilkan tenaga kerja yang berperibadi mulia. Kepentingan dalam pembentukan modal insan bertaraf dunia ini menjadi keutamaan kepada misi kerajaan sebagaimana ucapan Y.A.B. Perdana Menteri yang menyatakan,
“Persaingan untuk modal insan juga semakin meningkat, di mana banyak negara, terutama negara maju, mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan cutting edge kepada daya saing negara.  Dalam hal ini kerajaan akan mengambil langkah holistik bagi memperkukuhkan sistem pendidikan dan latihan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi.  Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kerajaan juga akan pastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.” 

                                                                        Ucapan oleh Y.A.B. Perdana Menteri di Dewan Rakyat Rancangan Malaysia ke 10, (2011-2015)


PERANCANGAN KE ARAH GURU YANG BERKUALITI
Dalam usaha untuk mencapai tahap guru berkualiti satu usaha yang yang komprehensif dan berterusan perlu dilaksanakan tanpa jemu dan dengan penuh gigih melalui suatu perancangan yang teliti serta berstrategik diperingkat IPG Kampus Kota Bharu.
Sebagai seorang Pensyarah Cemerlang sains di Jabatan Sains saya telah memainkan peranan bagi menjayakan misi Kementerian Pelajaran Malaysia di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu dengan cara dan pendekatan yang tersendiri. Saya telah berusaha dengan sedemikian rupa untuk meningkatkan kualiti diri saya sebagai seorang pensyarah bagi membolehkan saya melaksanakan pendidikan yang lebih berkesan serta dapat mengembangkan potensi pelajar ke tahap yang optimum bagi membolehkan mereka bertindak  sebagai modal insan yang berguna untuk pembangunan negara. Semua yang telah saya lakukan dapatlah digambarkan melalui kerangka seperti berikut:


Rajah 1 : Enam usaha yang dilaksanakan kearah pengembangan
        Kualiti Diri Guru

1.         HUBUNGAN DENGAN ALLAH – Kehidupan beragama

Tidak boleh dinafikan lagi kualiti diri seseorang insan itu bergantung
kepada sejauh mana hubungannya dengan Allah s.w.t. yakni kehidupan beragama. Kejayaan yang hakiki setiap insan itu bukanlah terletak pada pangkat, kekayaan dan rupa paras tetapi terletak kepada sejauh mana kita boleh taat perintah Allah ikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Kita kadang-kadang keliru dan tidak ambil berat tentang pekara-pekara ini walaupun ianya telah sedia ada dan dinyatakan dengan jelas dalam sistem pendidikan di negara kita. Dalam Rukun Negara sendiri telah menegaskan tentang kepercayaan kepada tuhan; 
           ”Kepercayaan kepada Tuhan
 Kesetiaan kepada Raja dan Negara
 Keluhuran Perlembagaan
 Kedaulatan Undang-Undang
 Kesopanan dan Kesusilaan”
                                                                                                          (Rukun Negara)

Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi penekanan tehadap mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI) juga berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
Dalam Model konseptual Bahagian Pendidikan Guru mengutamakan akauntabiliti guru kepada tiga dimensi utama iaitu kendiri, kemasyarakatan dan ketuhanan.    
       
                        Rajah 2 : Model Konseptual Bahagian Pendidikan Guru

Untuk memenuhi tuntutan yang berkaitan dengan ketuhanan saya bersama pihak pengurusan IPG Kampus Kota Bharu menganjurkan aktiviti peningkatan ilmu, penghayatan dan menggalakkan amalan individu sebagai insan yang percaya dan patuh kepada ajaran agama. Setiap individu itu tidak akan betul dengan masyarakat di sekelilingnya jika hubungan dirinya dengan Allah s.w.t. tidak baik.
Hubungan baik perlu dibina bukan sahaja dengan Allah tetapi juga dengan manusia di sekeliling kita sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-’Asr yang maksudnya;
            ”Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melaikan mereka-mereka yang beriman, beramal soleh, berpesan dengan pekara-pekara yang hak dan berpesan dengan kesabaran”.
 
  (Surah Al-Asr)

Berdasarkan kesedaran terhadap pentingnya hubungan dengan Allah s.w.t. dalam pembentukan guru yang berkualiti dan dapat digunakan dalam mendidik pelajar, saya sentiasa berusaha dalam meningkatkan iman dan amal saya sendiri ke tahap yang terbaik. Saya telah mengikuti kursus,  bengkel serta seminar yang berkaitan dengan usaha  mendalami pengetahuan agama. Saya telah menghadiri seminar yang di anjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia yang bertajuk     ” Penguasaan sains sebagai suatu kefarduan: ke arah penyuburan budaya ilmu yang Islami”.
Untuk merealisasikan pekara-pekara di atas terhadap pelajar serta guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu saya telah berusaha untuk mendekatkan mereka semua dengan pelbagai aktiviti keagamaan yang berpusat di masjid. Pertamanya saya berusaha untuk menghidupkan sembahyang secara berjemaah di masjid. Saya yang telah dilantik sebagai pemantau kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar mengesyorkan tentang pekara ini dalam mesyuarat dan telah dipersetujui. Satu jawatankuasa khas telah di bentuk untuk mengumarahkan masjid As-Solihin (Masjid IPG Kampus Kota Bharu) dan saya sendiri telah dilantik sebagai pengerusinya. Aktiviti-aktiviti yang boleh menarik pelajar dan guru pelatih ke masjid diatur dari masa kesemasa melalui keputusan mesyuarat. Semua aktiviti adalah di bawah perancangan saya sendiri dengan kerjasama Ketua Jabatan Agama dan Moral serta mendapat kebenaran pihak pengurusan IPG Kampus Kota Bharu.
Usaha ini dilakukan berdasarkan pemerhatian saya terhadap sambutan pelajar bagi aktiviti sembahyang berjemaah adalah sangat kurang dan disamping itu pelajar juga terlibat dengan berbagai salah laku. Sepanjang tahun 2008 saya telah mengumpul maklumat terhadap kehadiran pelajar ke masjid untuk sembahyang berjemaah dan juga keterlibatan pelajar dengan salah laku sebagaimana yang di tunjukkan dalam jadual di bawah.
Jadual 1 : Peratus kehadiran sembahyang berjemaah dan keterlibatan
      pelajar dalam salah laku bagi tahun 2008.

Bulan
Jan
Feb
Mac
April
Mei
Jun
Julai
Ogos
Sept
Okt
%Kehadiran Pelajar Sembahyang berjemaah

1.5

2.0

1.7

1.8

2.1

1.5

1.9

2.0

1.8

1.5
% Keterlibatan pelajar dengan salah laku

1.8

2.2

2.1

2.0

2.4

1.8

1.7

2.0

1.6

1.5

            Setelah menganalisis data di atas saya telah menyusun program bagi menarik pelajar untuk ke masjid bersembahyang jemaah. Saya telah menyediakan jadual kehadiran pelajar dan merekodkan kehadiran pelajar untuk sembahyang berjemaah. Pelajar yang tidak hadir dikumpul dan diberi kesedaran melalui sesi penerangan oleh saya dan dibantu oleh kaunselor IPG Kampus Kota Bharu serta pensyarah dari Jabatan Agama dan Moral. Untuk mengukuhkan lagi kesedaran pelajar terhadap kepentingan sembahyang berjemaah saya juga telah menyusun dan mengadakan aktiviti lain seperti menganjurkan ceramah, forum, bengkel ibadah, qiamulai dimana saya sendiri bertindak sebagai penceramah, panel forum, fasilitator dan juga imam qiamulai.
            Aktiviti ini telah dilaksanakan mulai Januari 2009 hingga sekarang. Analisis kehadiran pelajar ke masjid untuk sembahyang berjemaah dan keterlibatan pelajar dengan salah laku dikumpul dan hasilnya adalah seperti mana jadual di bawah.
Jadual 2 : Peratus kehadiran sembahyang berjemaah dan keterlibatan
      pelajar dalam salah laku bagi tahun 2009.

Bulan
Jan
Feb
Mac
April
Mei
Jun
Julai
Ogos
Sept
Okt
%Kehadiran Pelajar Sembahyang berjemaah

3.0

4.1

4.0

4.5

3.8

3.5

3.8

4.0

3.8

3.4
% Keterlibatan pelajar dengan salah laku

1.0

1.5

1.2

0.6

0.4

1.1

0.7

0.5

1.0

0.5

            Daripada data yang diperolehi saya telah berjaya meningkatkan bilangan pelajar yang ke masjid untuk mengikuti sembahyang berjemaah disamping itu pelajar yang terlibat dengan salah laku pula didapati semakin berkurangan. Ini menunjukkan aktiviti sembahyang berjemaah, ceramah, forum, bengkel ibadah, dan qiamulai telah dapat meningkatkan hubungan dan keyakinan pelajar terhadap Allah s.w.t. Dengan ini juga telah membuktikan elemen pertama dalam meningkatkan kualiti diri guru iaitu dari aspek ketuhanan dan kerohanian telah dapat dibina dalam kalangan pelajar. Semua ini telah menyumbang kearah penyediaan modal insan yang berguna untuk pembangunan negara.

2.         KEPAKARAN DAN BERPENGETAHUAN   DALAM BIDANG
Pendidik adalah pemimpin, pemikir, penjelas nilai, intelektual dan pengurus ilmu untuk memartabatkan profesion keguruan, serta membetulkan tanggapan masyarakat terhadap dunia pendidikan tanpa memfiksyenkannya. Pendidik juga merupakan agen atau sebagai mekanisma mencipta pengetahuan (creation of knowledge) dan mencipta kebaikan (creation of goodness) untuk pelajar di bawah tanggungjawabnya.
Ahli psikologi Barat pernah membuat analogi seorang guru yang pintar dan proaktif ibarat ‘walking dictionary’ kerana peranannya memberi arah kepada orang yang ingin bertanya sesuatu.  Pendidik juga perlu  membudayakan ilmu untuk disumbangkan kepada pelajar serta guru pelatih dan untuk ini saya telah berusaha dan proaktif dalam pembudayaan ilmu di peringkat diri saya dengan mengamalkan budaya membaca.
Saya telah mula mengamalkan budaya membaca ini semenjak saya mula bertugas di IPG Kampus Kota Bharu iaitu mulai tahun 1987. Saya lakukan ini dengan tekat untuk sentiasa menambahkan ilmu khususnya dalam bidang sains. Saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi budaya membaca dengan membuat perancangan yang berjadual dan bersistematik. Peringkat awalnya saya akan menyelesaikan pembacaan sebuah buku dalam masa seminggu dan  membentangkan kepada pelajar saya dihari terakhir minggu berkenaan. Buku yang saya baca adalah yang berkaitan dengan sukatan pelajaran yang saya sampaikan kuliah dalam semester  itu dan juga buku-buku lain yang boleh membantu meningkatkan ilmu pengetahuan bukan sahaja berkaitan dengan sains
tetapi tentang pedagogi. Semasa saya membentangkan isi kandungan buku tersebut saya juga menyatakan dan membuktikan tentang pentingnya kita  membuat rujukan terhadap banyak buku bagi sesuatu tajuk. Sebagai contohnya, pendekatan seseorang penulis adalah berbeza, ada yang senang difahami dan ada yang sukar. Isi kandungan sesuatu tajuk juga mungkin berbeza, ada yang ringkas dan ada yang terperinci.
Setelah selesai satu semester  dan masuk kepada semester kedua kumpulan berkenaan saya mula membuat jadual dan perancangan yang melibatkan pelajar juga membaca dan membentangkan hasil pembacaannya. Situasi yang sama saya laksanakan untuk semester-semester yang berikutnya.
Saya dapati apa yang saya laksanakan ini sangat membantu  meningkatkan prestasi pelajar dalam menguasai ilmu dan lebih kreatif dalam melaksanakan tugasan yang diberikan kerana mereka tiada masalah untuk membuat rujukan dan memilih buku yang sesuai. Saya juga merasai pelajar seronok dengan pendekatan yang telah saya laksanakan dalam budaya membaca. Situasi ini tentunya boleh membantu mengembangkan potensi mereka ketahap yang optimum sebagai bakal guru yang berkualiti dan seterusnya dapat membantu dalam pembangunan negara.

3.         PENYELIDIKAN DAN  PENULISAN ILMIAH
Penyelidikan  adalah perlu dilaksanakan kerana ianya dapat membantu seseorang guru itu mendalami dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang ilmu masing-masing. Penulisan juga akan dapat membantu dalam proses penyebaran ilmu yang ada pada seseorang ilmuan kepada masyarakat di sekelilingnya.
Saya telah  mencadangkan  dan  melaksanakan  usaha penyelidikan  di
IPG Kampus Kota Bharu  kerana pertamanya kita  harus menyempurnakan  tugas
IPG Kampus Kota Bharu sebagai pusat pendidikan tinggi.  
Penyelidikan dan pembangunan  di IPG Kampus Kota Bharu mencorak :
            (a)  landasan penyelidikan asas yang menerobosi perbatasan ilmu.
(b)  arus penyelidikan yang bersifat strategik, gunaan dan komersial.
Saya telah cadangkan dan pastikan penyelidikan diterima dan dirujuk oleh
rakan sekepakaran, sehingga layak diiktiraf di peringkat antarabangsa (sekurang-
kurangnya dalam bidang yang tertentu). Rakan sekepakaran di sini bermaksud
mereka yang pakar atau yang menguasai bidang yang sama, tidak kira sama ada
mereka ini dari dalam atau luar negara.
Saya telah cuba mempastikan penyelidikan harus memberi manfaat kepada  peranan yang tersenarai di atas  bagi IPG Kampus Kota Bharu sebagai pusat pendidikan tinggi.  Manfaat terakhirnya ialah penyelidikan itu harus mengerakkan revolusi ilmu atau perjuangan paradigma yang selaras dengan falsafah pendidikan negara.  Dalam masa yang sama, manfaat penyelidikan itu dapat memberi sumbangan yang bererti kepada proses melahirkan modal insan yang berguna kepada pembangunan negara.
Hasil Penglibatan saya dalam penyelidikan dan seminar penyelidikan setakat ini adalah seperti yang disenaraikan di bawah:
1.         ”Tinjauan terhadap pelaksanaan pendekatan konstruktivisme dalam   
            pengajaran pembelajaran sains oleh guru-guru sains sekolah rendah Negeri  
            Kelantan”.
            -Di bentang diSeminar Penyelidikan Pendidikan 2001 anjuran bersama IPG  
            Kampus Kota Bharu dan Bahagian Pendidikan Guru.
2.         ”Kajian tahap pengetahuan tentang kemahiran proses sains dalam kalangan guru pelatih pengajian sains ambilan Januari 2001”.
-Di bentang dalam wacana penyelidikan pendidikan 2002 anjuran bersama IPG kampus Kota Bharu dan Bahagian Pendidikan Guru.     
3.         ”Kesediaan guru pelatih opsyen sains mengajar sains dalam Bahasa Inggeris”.
4.         ”Persepsi guru pelatih KPLI sains IPG Kampus Kota Bharu terhadap  
            Bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran sains”.
-Di bentang pada seminar penyelidikan pendidikan peringkat zon timur tahun 2005.
5.         ”Meningkatkan kefahaman  kemahiran proses sains dalam membuat hipotesis untuk murid tahun enam SK Kuala Sungai”.
            -Dibentang pada Seminar Penyelidikan Pendidikan 2006 anjuran BPG dan  
            IPG Kampus Kota Bharu.
6.         ”Penggunaan pendekatan konstruktivisme dalam meningkatkan kemahiran  
            proses sains murid tahun enam melalui teknik simulasi” – Kajian Tindakan  
            (2006).
7.         ”Meningkatkan Kemahiran Membimbing Guru Pelatih KPLI Sains Secara
            Berkala Dalam Melaksanakan KKBI” – Kajian Tindakan (2006).
8.         ”Kesan Penggunaan Kemahiran Teknik Penyoalan Secara Inkuiri Dalam   
            Pengajaran Terhadap Penguasaan Kemahiran Proses Sains Bersepadu Di
            Kalangan  Murid Tahun Lima” – Kajian Jabatan Sains 2006.
9.         ”Kesediaan Pelajar Dari Segi Kognitif untuk Penerusan Kejayaan dalam
Penguasaan Konsep Sains dan Kemahiran Proses Sains di kalangan Pelajar Sekolah Menengah” – Kajian Jabatan Sains 2007 dan  dibentangkan pada Seminar Penyelidikan  Pendidikan peringkat kebangsaan 2008.
10.       Kemahiran Proses Sains Guru Pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam Pengajaran Sains semasa Praktikum: Satu Kajian Kes.
            -Kajian di bawah pemantauan khas Bahagian Pendidikan Guru, Tahun 2008.
Diantara sembilan penyelidikan yang telah saya laksanakan penyelidikan yang keenam iaitu ”Penggunaan pendekatan konstruktivisme dalam meningkatkan kemahiran proses sains murid tahun enam melalui teknik simulasi” – Kajian Tindakan (2006), memberi impak yang cukup jelas. Dalam tiga fasa yang dilaksanakan dapat dilihat peningkatan penguasaan pelajar tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Chiku 7, Gua Musang dalam mata pelajaran sains. Keputusan UPSR 2006 membuktikan peningkatan iaitu daripada 61 orang yang menduduki peperiksaan  2 orang telah mendapat 5A. Pada tahun sebelumnya tiada seorang pun yang mendapat keputusan 5A dan puncanya kerana ramai calon mendapat keputusan yang rendah dalam matapelajaran sains. Ini berlaku kerana pelajar  tidak dapat menguasai kemahiran proses sains.
Saya dapati hasil kajian yang saya telah laksanakan cukup memberangsangkan dan bermanafaat untuk meningkatkan kualiti diri sendiri dan juga peserta seminar atau individu yang meneliti hasil kajian saya. Kepada pelajar saya, perbincangan yang terperinci dilaksanakan untuk mereka dapat menghayati dan mengambil manfaat daripada hasil kajian saya yang sememangnya berkaitan dengan masa depan mereka sebagai seorang guru. Bagi mereka yang di semester akhir (semester lapan) telah menjadikan hasil kajian saya sebagai panduan untuk melaksanakan kajian tindakan yang menjadi tugasan terakhir mereka.
Dalam pengamatan saya semasa menjadi penilai pembentangan hasil kajian tindakan bagi pelajar semester akhir Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) sains, saya dapati satu peningkatan ketara yang telah mereka tunjukkan. Mereka dapat menghasilkan satu kajian tindakan berkualiti semasa mereka menjalani praktikum di sekolah.
Dengan ini saya dapat rumuskan bahawa segala contoh dan bimbingan yang saya telah berikan berkaitan dengan penyelidikan dan penulisan ilmiah telah dapat membantu pelajar saya meningkatkan prestasi mereka ketahap optimum sebagai guru berkualiti yang boleh menyumbang dalam pembangunan negara tercinta.

4.         PERSONALITI DAN KESIHATAN UNGGUL GURU

            Kesihatan boleh didefinasikan sebagai kesihatan tubuh kasar dan juga diri batin atau rohani. Untuk menjadi seorang guru yang berkualiti pastinya  mempunyai tahap kesihatan dan personaliti yang tinggi. Seseorang itu tidak akan dapat berfikir dengan baik jika dirinya berada dalam keadaan tidak sihat. Kata orang; ”Otak yang cergas bermula daripada badan yang sihat”. Orang yang berpenyakit darah tinggi biasanya bersifat panas barang manakala orang mengidap kencing manis biasanya fikiran tidak menentu. Sifat atau gejala penyakit seperti ini tentunya akan merendahkan kualiti diri guru.
            Diatas kesedaran inilah saya sentiasa berusaha menjaga kesihatan diri sama ada kesihatan fizikal dan juga rohani. Pekara yang sama saya telah laksanakan kepada pelajar serta warga IPG Kampus Kota Bharu melalui aktiviti-aktiviti yang menitik beratkan kesihatan diri sama ada fizikal dan rohani. Saya telah dijemput menyertai seminar dan program ceramah ajuran dalaman dan juga anjuran pihak luar. Tajuk utama ceramah yang saya berikan adalah merupakan satu inovasi saya yang bertajuk ”Mengenal Diri secara Saintifik” dan hubungannya dengan penjagaan kesihatan diri sama ada fizikal dan rohani. Tajuk yang kedua adalah ”Diri Insan dan Konsep Vital Force” yang banyak memberikan kesedaran tentang pentingnya kesihatan fizikan dan kesihatan rohani dalam kehidupan terutamamanya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti.
”Vital Force” atau Tenaga Hayat adalah merupakan sebagai penghubung atau  sendi antara Jasad   ( Tuboh Kasar ) dengan Qalbu/Diri batin. ”Vital Force” atau Tenaga Hayat juga dapat dikaitkan dengan iman.
Petunjuk dari Allah s.w.t yang disampaikan oleh Nabi Muhamad s.a.w.  dengan tegas menunjukkan iaitu manusia yang hidup di alam ini sentiasa dalam kerugian kerana amalan-amalan mereka yang tidak sihat dan tidak mendatangkan kebaikan kepada diri mereka sendiri, malah bertentangan dengan sunnah wujudnya manusia itu yang asalnya dicipta dalam bentuk yang amat baik, kecuali mereka yang beriman dan melakukan amal salleh.
Dengan ini jelas kepada kita bahawa yang menjadi asas kepada kehidupan manusia, jika ingin hidup sihat dan selamat ialah Iman dan amal salleh. Beriman kepada Allah menjadi faktor utama dalam kehidupan orang Islam iaitu benar-benar berserah kepada Tuhan dan tidak mensyarikatkan Allah s.w.t serta melaksanakan perintah-perintahNya. Orang yang beriman kepada Allah akan memelihara imannya supaya sentiasa dalam keadaan sihat dan seterusnya akan melahirkan amalan-amalan yang baik menurut kehendak Allah s.w.t. Kekuatan iman akan membawa kepada kesedaran atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepadanya dan dengan sendirinya ia akan menghargai dirinya, berkelakuan baik, moral yang sihat seterusnya barulah amalan pun turut sama sihat.
Ketipisan dan kelemahan iman atau kepercayaan adalah satu tenaga negatif yang akan membawa kepada pelanggaran sunnah dan perintah-perintah Tuhan dan akhirnya akan mendorong kepada mempersekutukanNya. Dengan ini luput dan rosaklah kesihatan dan mulalah pelbagai jenis penyakit bermaharajalela. Mereka akan melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan hina dimana akan melahirkan pula akhlak yang buruk. Mereka akan memakan makanan yang ditegah atau yang diharamkan oleh Allah s.w.t dan seterusnya jasad yang sihat akan berubah menjadi berpenyakit..
            Kesan daripada apa yang telah saya usaha dan perkenalkan tentang penjagaan kesihatan dapat dikesan dengan wujudnya program-program yang dianjurkan oleh pihak yang berkaitan di IPG Kampus Kota Bharu untuk menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal serta kesihatan kerohanian.
            Sebagai rumusannya kesihatan adalah merupakan faktor penting dalam memastikan kualiti diri seorang guru. Guru yang mempunyai kesihatan fizikal dan kerohanian yang tinggi akan dapat meyumbangkan peranan sebagai pendidik yang berkesan  dan membantu dalam melahirkan modal insan untuk pembangunan negara.

5.         SUMBANGAN KEPAKARAN
            Setiap pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Sudah menjadi tanggungjawab masing-masing untuk menyebar luas ilmu atau kepakaran itu melalui apa cara atau kepada siapa hendak disampaikan. Pekara seperti ini tentunya lebih jelas dan tertumpu terhadap diri saya yang telah dikenali sebagai Pensyarah Cemerlang. Sumbangan kepakaran yang telah saya laksanakan adalah seperti berikut;

            5.1 Kepakaran dalam mata pelajaran

            Sebagai seorang pensyarah senior dan pensyarah cemerlang sains di IPG Kampus Kota Bharu saya merupakan  tempat rujukan utama dalam bidang sains. Saya memberi kuliah untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP) dan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP).
            Sebagai bukti pengikirafan terhadap kepakaran dalam bidang sains yang ada pada saya pihak pengurusan IPG Kampus Kota Bharu telah menggunakannya dalam program-program yang boleh mendidik pelajar dan guru pelatih ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti. Sebagai contohnya saya telah dilantik mengendalikan minggu sains, penyelaras taman sains dan makmal sains, dan penyelaras mata pelajaran sains di bawah program khas IPG Kampus Kota Bharu.
Sebagai Pensyarah Cemerlang saya juga banyak membantu dan bertanggungjawab dalam  membimbing pensyarah lain   khususnya dalam bidang sains serta dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Dalam penghasilan modul pembelajaran, saya banyak memberikan sumbangan sama ada di peringkat IPG dan diperingkat Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Sebagai Penyelaras Program Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI), saya banyak terlibat dalam memberi ceramah dan facilitator kursus yang diperlukan diperingkat sekolah rendah, menengah serta PPD dan JPN .Saya juga telah memberi sumbangan sebagai penceramah Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk pegawai perkhidmatan pelajaran siswazah DG 44, DG 48 dibawah tajuk ”Pengajaran dan Pembelajaran Yang Berkesan”.Yang terkini sumbangan saya adalah sebagai fasilitator Kursus Orientasi Guru Cemerlang Peringkat Zon Timur Siri 1,2 dan 3 di Bukit Keluang Beach Resort Besut, Terengganu.
Pada 18 Julai 2010 saya bersama Ketua Jabatan Agama dan Moral telah menganjurkan Forum Israk Mikraj di Dewan Wawasan kepada seluruh warga IPG Kampus Kota Bharu. Forum Israk Mikraj ini adalah lebih berfokus kepada pandangan sains. Saya sendiri adalah salah seorang daripada ahli panel dan moderator.  Dalam Forum itu saya banyak membawa peserta ke arah memahami perkaitan diantara ilmu sains dengan Israk Mikraj. Saya menceritakan tentang konsep tenaga hayat, kelajuan Borak dan perbandingannya dengan halaju cahaya, konsep dimensi iaitu alam tiga dimensi (alam nyata), alam ghaib, Alam Malakut, Alam Lahut, Alam Jabarut dan konsep meta fizik serta fungsi ruang dan masa     (time and space).
            Semasa sesi soal jawab saya mendapat maklum balas yang menggambarkan peserta forum telah mula memahami bahawa adanya perkaitan diantara ilmu sains dengan Islam. Ilmu sains sebenarnya dapat membenarkan atau membuktikan betapa idealnya Islam dan betapa agongnya Allah s.w.t. yang mencipta alam serta makluk di dalamnya.
Kefahaman ini juga menggambarkan berlakunya peningkatan dalam kefahaman tentang kehidupan beragama yang tentunya akan meningkatkan kualiti seseorang individu, apatah lagi seorang guru yang berguna dalam membantu pembangunan negara.


            5.2 Kepakaran dalam penyediaan soalan

            Sepanjang saya menjadi pensyarah di IPG Kampus Kota Bharu saya banyak terlibat dalam penyediaan soalan sama ada di peringkat IPG Kampus Kota Bharu dan juga diperingkat IPG induk / Bahagian Pendidikan Guru. Sebagai penyarah senior dan pensyah cemerlang di Jabatan Sains dan juga di IPG saya  dilantik sebagai pengerusi penggubalan soalan. Bagitu juga penggubalan di peringkat induk saya juga selalu terlibat untuk menjadi pengerusi penggubalan soalan bagi mata pelajaran sains..
            Pengalaman dan ilmu yang saya perolehi semasa penyediaan ini saya sebar luaskan kepada pelajar saya kerana ianya adalah salah satu ilmu yang perlu dalam peningkatan kualiti sebagai seorang guru.

            5.3 Kepakaran dalam pemeriksaan skrip jawapan

            Saya juga terlibat dalam pemeriksaaan skrip jawapan sama ada di peringkat IPG Kampus Kota Bharu dan juga diperingkat IPG induk / Bahagian Pendidikan Guru. Dalam urusan pemeriksaan skrip jawapan ini saya selalunya dilantik sebagai pengerusi. Segala pengalaman yang saya perolehi ini juga saya curahkan kepada pelajar saya demi untuk peningkatan kualiti dirinya sebagai seorang guru.

            5.4 Kepakaran dalam pedagogi / pengajaran dan pembelajaran.

Demi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Pensyarah Cemerlang berbagai aktiviti dan program telah saya rancang dan laksanakan selain memberi kuliah bagi kumpulan yang dijadualkan.
Selain meningkatkan kemahiran dalam isi pelajaran dalam sains khususnya dalam bidang kimia (chemistry) saya juga mendalami dalam ilmu pedagogi iaitu pedagogi / pengajaran dan pembelajaran sains. Pendekatan konstruktivisme dalam pengajaran dan pembelajaran saya telah perolehi semasa berkursus selama sebulan di ’University of Iowa’ Amerika Syarikat. Pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran yang lain seperti pembelajaran kontektual , pembelajaran masteri dan pembelajaran koperatif saya perolehi semasa berkursus beberapa kali di RECSAM. Segala kepakaran dalam pedagogi yang saya ada saya telah sampaikan dan terjemahkan dalam bentuk yang terbaik kepada pelajar atau guru pelatih.
Saya dapat kesan dengan jelas kejayaan usaha saya ini untuk melahirkan  guru-guru  yang berkualiti dan berwibawa semasa mereka menjalani praktikum. Bilangan guru pelatih sains yang mendapat cemerlang dalam praktikum telah meningkat dengan mendadak.  Dengan kejayaan seperti ini saya penuh yakin modal insan yang berpotensi tinggi dapat dilahirkan dan seterusnya akan membantu dalam pembangunan negara.

6.         INOVASI / PENEMUAN BARU
6.1 ‘Vehicle Ventilator system’
‘Vehicle Ventilator system’ adalah satu alat yang boleh membantu mengelakkan kereta yang ditinggalkan di panas matahari tidak terasa panas kerana alat ini secara automatik akan menyedup keluar udara panas di dalam kenderaan yang dipasang atau dilengkapkan dengannya.
Alat ini telah saya reka dengan bantuan lima orang Pelajar PISMP. Kami terpanggil untuk melaksanakan kajian untuk mereka alat ini kerana setakat ini kebanyakan kereta di Malaysia tidak dilengkapi dengan alat seperti ini. Kami dapati juga alat seperti ini tiada di pasaran.
Pada permulaan kami mensasarkan alat ini kepada pengguna kereta kerana hampir 58% orang dewasa di Malaysia memiliki kereta. Walaubagaimanapun alat ini boleh diubahsuai untuk kegunaan kenderaan lain seperti Van, lori atau treller (lori yang besar).
Kami penuh yakin dengan terhasilnya alat baru ini, dunia automobil Malaysia akan mengalami satu impak yang baru dan akan mendapat sambutan yang baik dan akan menguntungkan syarikat yang akan mengusaha dan memasarkannya.
Dengan inovasi ini kami telah menyertai  pertandingan sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2007 (HHIN ’07) yang berlangsung pada 26 hingga 29 April 2007 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Walaupun  tidak mendapat tempat yang baik dalam pertandingan itu pelajar saya yang terlibat mendapat manafaat daripada pengalaman  yang dilalui dan berguna untuk menikatkan kualiti diri seorang bakal guru.

6.2 Mengenal Diri secara saintifik.
Satu inovasi saya yang menggunakan peta konsep yang dihasilkan  berasaskan sintesis beberapa bidang ilmu yang  berkaitan dengan manusia dan agama.
Peta konsep ini saya gunakan untuk menjelaskan tentang kehidupan manusia dari aspek rohani dan jasmani serta perkaitannya dengan amal agama sesuai dalam usaha pembentukan insan kamil atau modal insan yang sempurna.  
         
Rajah 4 : Rangka Konsep Manusia

            Penerangan yang terperinci telah saya laksanakan kepada guru pelatih dan juga rakan pensyarah didalam ceramah, kuliah dan seminar di IPG Kampus Kota Bharu . Saya juga menggunakan inovasi ini semasa memberi ceramah di luar IPG yakni di sekolah, JPN  atau IPG lain.
            Perubahan saya dapat kesan terhadap masyarakat di IPG Kampus Kota Bharu terhadap inovasi yang telah saya perkenalkan. Ini terbukti ramai yang datang berjumpa dengan saya untuk bertanya dan memahami dengan lebih jauh dan lebih jelas. Ini juga sebenarnya boleh membantu peningkatan dalam kualiti kehidupan manusia.



Kesimpulan

            Pendidikan merupakan salah satu faktor utama dalam membangunkan modal insan dan mencapai Misi Nasional. Guru adalah yang memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan ini. Justeru itu guru perlu memahami, memberi komitmen serta mempunyai iltizam yang tinggi dalam melengkapkan diri berkualiti ke arah usaha meningkatkan kualiti pendidikan. Dengan kata lain guru perlu sentiasa berusaha mencapai tahap kecemerlangan tertinggi.
Guru berkualiti ialah guru yang memiliki nilai kualiti diri unggul sebagai penyampai ilmu, sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh teladan kepada murid. William A. Ward menjelaskan, ”the mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrate. The great teacher inspires ”.
Sebagai rumusannya dapatlah ditegaskan bahawa ke enam-enam usaha yang telah saya usahakan dan sebagaimana yang di jelaskan di atas, telah berjaya menjadikan saya sebagai seorang  guru yang berkualiti dengan memiliki ciri-ciri kepatuhan kepada tuhan, mempunyai kepakaran serta berpengetahuan dalam bidang sains, melaksanakan penyelidikan serta penulisan ilmiah, mempunyai personaliti serta kesihatan yang unggul, menyumbangkan kepakaran yang dimiliki dan melahirkan inovasi serta penemuan baru.
Dengan memiliki kualiti ini telah membantu saya untuk melaksanakan pengajaran dengan berkesan dan dapat mengembangkan potensi pelajar-pelajar saya dalam aspek ketuhanan, kerohanian, budaya ilmu, pemikiran yang positif, mengamalkan gaya hidup sihat, kreatif dan inovatif. Semua elemen-elemen ini adalah penting dalam membangunkan modal insan dan diri seseorang pelajar.
Daripada usaha-usaha ini juga saya dapati saya telah berjaya mengembangkan potensi pelajar saya ke arah sebagaimana yang dikehendaki untuk menyumbang kepada pembangunan negara.



Bibliografi
Akta Pendidikan 1996, International Law Book Service, Kuala Lumpur, 1998
AI. Ramalah. 1992. Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. Petaling Jaya:
            IBS Buku Sdn.Bhd.
Alvin Toffler, 1991. Kejutan Masa Depan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan  
Pustaka.
B.J. Hodge, W.P. Anthony. Lawrence Gale. 1996. Organization Theory: A
Strategic Approach. 5 th Edition. London: Prentice Hall Inc.

Hussein Mahmood.1993. Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. 1982.
            Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Montimer J. Adler, 1991. Reformasi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Nik Aziz Nik Pa. 1990. Program Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas: Teori dan Praktis. Kajang: Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam.

Omar Mohd. Hashim. 1991. Pengisian Misi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Penyelidikan Pendidikan Ke arah Kecemerlangan. Prosiding Seminar
Kebangsaan Penyelidikan Pendidikan 1994.  1995.  Anjuran Jawatan-kuasa  Penyelarasan Pendidikan. Malindo Printers Sdn. Bhd. Shah Alam:
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rancangan Malaysia ke-9, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010.
Edisi Pelancaran PIPP 2006. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ucapan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi Semasa
Membentang Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke Sembilan,
2006 – 2010 di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006.

Ucapan Y.A.B. Perdana Menteri dalam Forum Dialog Majlis Tindakan Ekonomi  
Negara pada 13 Januari 2004

Ucapan oleh Y.A.B. Perdana Menteri di Dewan Rakyat Rancangan Malaysia       
ke 10, (2011-2015)

Wawasan 2020: Penjelasan dan Strategi Pelaksanaan Sembilan Cabaran.
Cetakan Pertama 1995. Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia.
Kuala Lumpur:  Kementerian Penerangan.

1 comment:

  1. Guru yang berdedikasi merupakan guru yang menitikberatkan prihal anak murid dan pelajarnya dengan sebaik mungkin.Walhal ia secara tidak langsung mencerminkan diri guru dan nilai murni dalam diri guru.

    ReplyDelete