PENGENALAN
Falsafah
Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran berasaskan pengalaman
melalui aktiviti merupakan asas utama dalam pembelajaran koperatif. Tokoh
pendidik seperti Johnson and Johnson (1991), Slavin (1984) dan Kagan (1988)
telah memperkenalkan dan mempertingkatkan strategi pembelajaran ini untuk
digunakan di institusi pendidikan. Aktiviti dalam pembelajaran koperatif secara
menyeluruh mengintegrasikan pembelajaran masteri, mengaplikasikan teori
kecerdasan pelbagai, kemahiran berfikir, mengaplikasikan kemahiran belajar selain
dari mengukuhkan kemahiran sosial. Pengintegrasiaan aspek pembelajaran yang terbentuk dalam
pembelajaran koperatif ini sesuai dilaksanakan dari peringkat rendah hinggalah
ke peringkat pengajian tertiari.
Pengalaman pembelajaran yang dilalui
oleh pelajar akan membantu mereka
mewujudkan kebebasan dalam menentukan corak hidup dan menangani cabaran masa
depan secara positif. Struktur Pembelajaran Koperatif, jika dilaksanakan dengan
baik, diharapkan dapat memberi
impak ke atas pelajar kerana
keistimewaannya memupuk keyakinan, kesaksamaan
dan kepuasan dalam pembelajaran .
Keistimewaan
Pembelajaran Koperatif
Sebagai pendidik kita perlu
menyediakan pelajar untuk lebih berani, yakin dan berwibawa dalam menghadapi
suasana di sekolah dan dalam kehidupan. Untuk itu kita perlu melihat
semula fungsi sekolah dalam komuniti. Ia
bukan sahaja sebagai institusi untuk
menjalankan peranan sosialisasi dalam masyarakat malah sekolah diletakkan sebagai agen perubahan yang utama untuk
masyarakat setempat dan negara.
Perubahan Dalam
Amalan Sosialisi
Pada masa ini
kita tidak boleh mengelakkan diri dari berinteraksi di antara satu sama lain
kerana sebagai ahli dalam masyarakat, kita perlu memainkan peranan dan
tanggungjawab dengan rapi untuk memenuhi keperluan kehidupan dan untuk hidup sejahtera. Berdasarkan
situasi dunia yang semakin mencabar, pelajar perlu didedahkan dengan keinginan
untuk berdaya saing dan untuk mencapai tahap yang yang tinggi dalam apa yang diceburi.
Mereka perlu mewujudkan mekanisma untuk
bekerjasama di antara satu sama
lain di samping lebih peka dan kreatif. Apabila
mereka menceburkan diri dalam alam pekerjaan kelak, mereka tidak boleh lari
dari melakukan rutin harian bersama dengan orang lain yang mungkin berbeza dari
segi latar belakang dan budaya. Justeru, situasi di sekolah amatlah sesuai
untuk ditanam dan dipupuk inisiatif untuk koperatif, saling bekerjasama dan
bantu membantu sebagai persediaan dalam kehidupan di masa hadapan.
Ekonomi Yang Berpusatkan
Sumber Manusia
Dalam senario
perubahan pengeluaran ekonomi kepada berteknologi tinggi dan dalam era
teknologi maklumat dan komunikasi, keperluan perhubungan interpersonal
harus diberi penekanan supaya kemahiran teknologi terus dapat disebarkan. Penyebaran
informasi melalui teknologi maklumat dan
komuniksai mementingkan kepakaran dalam perkembangan mengurus personalia dalam
latihan dan perkembangan kaki tangan. Dalam usaha ini sekolah, khususnya guru
berperanan untuk menyediakan pelajar dalam kemahiran tersebut. Pembelajaran
koperatif merupakan salah satu strategi pengajaran pembelajaran yang sesuai
untuk membantu dalam usaha ini.
Keperluan Generasi Di alaf Baru
Sekiranya
generasi akan datang mahu berubah sikap kepada yang lebih rasional, beretika,
hormati-menghormati dan bantu-membantu dalam mencapai kemajuan masyarakat bangsa dan negara, adalah dicadangkan suasana
pengajaran pembelajaran bilik darjah mengadaptasikan strategi koperatif,
situasi bantu-membantu (interdependent), menyusun penggunaan masa dengan
berkualiti selain dari bersaing dan pembelajaran secara individu. Keadaan dunia
yang bertambah kompleks, keadaan masa depan sosial dan ekonomi yang sentiasa
berubah memaksa kita membimbing generasi muda supaya lebih fleksibel dan boleh
mengadaptasi kepada keadaan baru dan tidak mudah terkeliru.
Brain-based
Learning
Teori brain-based
learning menghubungkaitkan prinsip
bahawa pembelajaran akan lebih bermakna jika pelajar mengaitkan apa yang
dipelajari dengan pengalamannya. Ini bermakna pembelajaran akan terhasil
apabila ada kesepaduan fungsi minda dan otak . Pelaksanaan Strukur Pembelajaran
Koperatif mementingkan kerja dalam
pasukan dan aspek ini memerlukan penggunaan minda secara aktif untuk mencapai
hasil pembelajaran secara bekerjasama. Kita lihat kebanyakan struktur pembelajaran
koperatif mengaplikasikan teori kecerdasan pelbagai dan mengasah kemahiran
berfikir di kalangan pelajar.
Kenapa Berstruktur
Dalam
pembelajaran koperatif pelaksanaan
diatur secara berstruktur untuk menyampai input dalam sukatan.
Pembelajaran berlangsung berprinsipkan P.I.E.S
(Positive Interdependence ; Individual Accountability ;
Equal Participation dan Simultaneous Interaction). Kesemuanya dilaksanakan sama ada dalam
pasangan, pasukan berempat atau antara pasangan dan antara pasukan. (Nota: istilah
yang digunapakai ialah pasukan (team)
bukan kumpulan (group). Pasukan
mestilah dibentuk secara heterogen (contohnya pelbagai pencapaian, pelbagai
latar belakang budaya, campuran jantina dan pelbagai etnik). Pelaksanaan
aktiviti dikawal mengikut masa yang ditetapkan, diatur supaya peluang
pembelajaran adil dan telus (equal and
accountable) dan ada pengukuhan yang jelas.
Brain
Breaks
Di samping diisi
dengan aktiviti untuk pengajaran pembelajaran, Struktur Pembelajaran Koperatif
menggalakkan pelajar diberi ruang untuk melakukan akitviti kinestetik,
mengadunkan unsur muzikal, puitis dan teater untuk mengelakkan pelajar berasa
bosan di dalam kelas. Mereka akan merasa satu injeksi semangat dan pemupukan emosi apabila mereka
direhatkan sebentar dengan input dan aktiviti yang ringan dan menyeronokkan.
Walau
bagaimanapun diharapkan pembelajaran koperatif tidak diolah untuk mewujudkan
persaingan yang tidak sihat di kalangan pelajar. Kalau tidak mereka akan lebih
bertumpu kepada berlumba untuk berjaya bukan
bekerjasama untuk berjaya. Mereka akan terbawa dengan nilai tradisi untuk
bersaing seperti keinginan untuk mencapai kejayaan berlandaskan pencapaian
sosio-ekonomi bukan berdasarkan kejayaan berdasarkan strategi koperatif yang
luhur.
Harus diingat fasilitator haruslah
juga bijak dalam mengolah dan menghubungjalinkan struktur ini dengan strategi
dan teknik pengajaran pembelajaran lain
yang sesuai untuk memastikan pengajaran pembelajaran di dalam dan di
luar bilik darjah berkesan dan mencapai hasil pembelajaran.
KESAN PEMBELAJARAN KOPERATIF
1. Pencapaian Akademik
Kajian
menunjukkan pembelajaran koperatif membantu meningkatkan pencapaian akademik
merentas tahap umur, mata pelajaran dan dalam sebahagian besar tugasan
berbanding dengan pembelajaran secara persaingan dan individu (David and Roger
Johnson, 1981; Robert Slavin, 1983b). Dalam 46 kes kajian eksperimen Slavin,
63% menunjukkan pencapaian kejayaan akademik menonjol melalui pembelajaran
koperatif, 33% menunjukkan tiada perbezaan. Kejayaan yang dicapai melalui cara
pembelajaran tradisional hanyalah 4% sahaja. Ini jelas menujukkan korelasi
antara pembelajaran koperatif dan
pencapaian akademik.
2. Hubungan etnik
Peningkatan dalam
hubungan etnik boleh diwujudkan melalui pembelajaran koperatif. Kajian Kagan ke atas 1000 orang pelajar dengan menggunakan 1 juta data telah
membuktikan peningkatan perhubungan etnik
(Kagan and Associates, 1985).
RUMUSAN
Bidang pendidikan
pada masa ini antara bidang yang kerap terdedah kepada kontroversi dan bahan
perdebatan umum. Dalam masa yang sama kumpulan pendidik tidaklah harus berdiam
diri andainya ada aspek tertentu dalam pendidikan yang menjadi bahan
perbincangan umum. Meningkatkan profesionalisme dalam core business
perguruan iaitu pelaksanaan pengajaran pembelajaran harus dikira sebagai
tanggungjawab utama. Oleh itu, para pendidik dicadangkan menyesuaikan struktur pembelajaran
koperatif dalam aktiviti dalam dan luar bilik darjah agar pembelajaran berlangsung dengan aktif,
seronok di samping meneroka unsur kerjasama positif, unsur ketelusan, unsur
pengdemokrasian dan unsur saling berinteraksi dalam pembelajaran.
Bagaimana untuk menjalankan kaedah ini dalam kelas yang besar dan mempunyai ruang yang terhad ?
ReplyDelete