Thursday 12 July 2012

APLIKASI KEMAHIRAN PROSES SAINS GURU PELATIH KURSUS PERGURUAN LEPAS IJAZAH SEMASA PRAKTIKUM : Satu Kajian Kes


Oleh:

Haji Zohari Bin Muda
Hajah Faridah Bt. Darus
Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Malaysia,
Kampus Kota Bharu.

ABSTRAK


Satu kajian tentang pelaksanaan kemahiran proses sains dalam kalangan  guru pelatih kursus perguruan lepasan ijazah pengkhususan sains Ambilan Januari 2008 dalam pengajaran sains telah  dilaksanakan semasa mereka menjalani praktikum. Kaedah penyelidikan kualitatif telah dipilih untuk melaksanakan kajian ini yang  melibatkan dua orang peserta kajian dari sebuah sekolah yang dipilih selama tiga bulan tempoh praktikum. Pengumpulan data melibatkan teknik tinjauan,  pemerhatian, temubual dan analisis dokumen. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kedua-dua responden kajian mempunyai tahap yang sederhana dalam pengetahuan tentang kemahiran proses sains. Dapatan kajian yang seterusnya ialah guru pelatih melaksanakan kemahiran proses sains dalam pengajaran sains sekolah rendah dengan tahap yang rendah.  Antara faktor-faktor yang mempengaruhi pelaksanaan kemahiran proses sains dalam kalangan guru pelatih adalah terbahagi  kepada tiga iaitu sikap guru pelatih,  bimbingan guru pembimbing dan pensyarah pembimbing  serta sokongan pihak pengurusan sekolah.  Sebagai rumusan kajian, ketiga-tiga faktor berkenaan dapat meningkatkan pelaksanaan kemahiran proses sains semasa pengajaran sains dalam kalangan guru pelatih.  Pengkaji  mencadangkan suatu kajian lanjutan perlu  dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat mengenai bentuk bimbingan yang diperlukan oleh guru pelatih dalam melaksanakan pengajaran sains yang mengaplikasikan kemahiran proses sains secara efektif.










1.0  Pendahuluan
Sains merupakan bidang yang menekankan kepada pemerolehan pengetahuan dan penguasaan kemahiran.  Alam sekitar merupakan makmal utama  untuk murid menguasai kemahiran proses sains.   Kepentingan penguasaan kemahiran proses sains termaktub dalam kurikulum sains sekolah rendah.
”Kurikulum sains sekolah rendah memberikan penekanan kepada penguasaan kemahiran berfikir dan kemahiran saintifik di samping kepada pemahaman prinsip asas sains serta pemupukan sikap saintifik.  Strategi pengajaran dan pembelajaran kurikulum ini menyarankan pendekatan inkuiri yang menegaskan  pembelajaran melalui pengalaman”...(p. iii)

Guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran membantu murid menguasai kemahiran proses sains.   Kejayaan menerapkan kemahiran proses sains dalam kalangan murid sekolah rendah bergantung kepada strategi dan penyampaian guru semasa pengajaran.  Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) matlamat sains sekolah rendah untuk membangunkan perkembangan, minat dan kreativiti pelajar melalui pengalaman harian dan penyiasatan yang dapat menggalakkan mereka  untuk menguasai kemahiran berfikir dan kemahiran saintifik. Penguasaan kemahiran proses sains dapat membantu murid dalam menyelesaikan masalah harian mereka.
Dalam melaksanakan pengajaran, guru menggunakan pelbagai pendekatan agar kandungan dan kemahiran dapat dikuasai oleh murid.  Fenomena seperti ini akan berlaku sekiranya guru menyedari kepentingan kemahiran proses sains dan bersedia mengamalkannya semasa pengajaran di bilik darjah.  Namun perkara yang berlaku adalah sebaliknya, di mana penekanan guru adalah terhadap isi pelajaran dan berorientasikan peperiksaan.  Fenomena ini turut menular dalam kalangan guru pelatih sains semasa praktikum.
2.0   Penyataan Masalah
Kepentingan kemahiran proses sains dalam pengajaran sains di sekolah tidak dapat dinafikan lagi.  Walaupun demikian kemahiran tersebut dianggap sukar untuk dilaksanakan dalam kalangan guru pelatih pengkhususan sains.  Ini dikukuhkan lagi dengan kebanyakan guru pelatih Institut Perguruan Kota Bharu sejak 10 tahun yang lalu menunjukkan masalah dalam penguasaan kemahiran proses sains semasa melaksanakan program sepanjang tempoh praktikum.
Menurut Martin, Sexton, Wagner, Gerlovish (1994),  kemahiran proses sains dalam kalangan guru sekolah rendah.   Kajian yang dijalankan di Barat Australia menunjukkan  guru-guru sains lemah dalam penguasaan kemahiran proses sains dan kurang jelas kelihatan pelaksanaannya dalam pengajaran sains di sekolah rendah.  Kelompangan dalam penguasaan kemahiran proses sains ini menimbulkan pelbagai masalah-masalah lain dalam pengajaran sains.  Manakala Miller (1996) menyokong pendapat Willian dengan menegaskan bahawa kemahiran proses sains  akan digunakan dalam pengajaran sains yang berkesan.  Kemahiran ini juga merujuk kepada langkah. Prosedur atau aktiviti yang dirancangkan oleh guru kepada pelajar agar pelajar dilibatkan secara aktif dalam pembelajaran.
Kemahiran proses sains merupakan salah satu aspek  penting yang diberikan penekanan dalam pengajaran sains dalam kalangan guru pelatih sebelum mereka ke sekolah untuk menjalani praktikum.  Kemahiran proses sains asas yang terdiri daripada kemahiran memerhati, membuat pengkelasan, kemahiran mengukur dengan menggunakan nombor, kemahiran membuat inferens, kemahiran meramal, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran perhubungan ruang dan masa.  Manakala kemahiran proses sains bersepadu terdiri daripada kemahiran mentafsir data, kemahiran mendefinisi secara operasi, kemahiran mengawal pemboleh ubah, kemahiran membuat hipotesis dan kemahiran mengeksperimen.
Walaupun pada peringkat sekolah rendah tidak kesemua kemahiran proses itu perlu dilaksanakan dalam pengajaran agar pelajar dapat menguasainya.  Namun guru pelatih telah didedahkan kesemua kemahiran proses tersebut secara teori dan amali dengan harapan mereka dapat melaksanakan dalam pengajaran sains semasa praktikum yang bersesuain dengan kemampuan pelajar.  Bagi guru pelatih sains terdapat beberapa kelemahan yang dikenalpasti semasa menjalankan praktikum iaitu kurang berjaya menerapkan kemahiran proses tersebut dalam pengajaran sains.  Oleh yang demikian, kajian ini ingin melihat sejauhmana  guru pelatih melaksanakan  kemahiran proses sains dalam pengajaran mereka.
3.0   Objektif Kajian
Kajian ini menggariskan beberapa objektif seperti berikut:-
       3.1  Mengenalpasti tahap pengetahuan dan kefahaman guru pelatih
              terhadap penguasaan kemahiran proses sains.
3.2   Menentukan  tahap pelaksanaan kemahiran proses sains dalam   
       kalangan guru pelatih semasa pengajaran sains.
3.3   Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pelaksanaan  
   Kemahiran proses sains dalam kalangan guru pelatih pengkhususan 
 Sains.
4.0   Persoalan Kajian
Kajian ini dijalankan bagi menjawab soalan-soalan kajian yang berikut:-
4.1   Apakah tahap  pengetahuan dan kefahaman guru pelatih terhadap 
  penguasaan kemahiran proses sains?
4.2   Sejauhmanakah tahap pelaksanaan kemahiran proses sains dalam   
       kalangan guru  pelatih semasa pengajaran sains?
4.3   Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pelaksanaan kemahiran   
  proses sains dalam kalangan guru pelatih pengkhususan sains?
5.0  Kepentingan Kajian
       5.1  Mendapat maklumat tentang masalah yang dihadapi oleh guru pelatih  
              pengkhususan sains dalam merancang dan melaksanakan pengajaran 
              sains dengan memberikan penekanan terhadap penguasaan kemahiran
           proses sains.
 5.2  Membantu guru pelatih untuk mengesan masalah dalaman dan luaran      
        yang dapat menyokong atau sebaliknya pelaksanaan kemahiran proses    
        sains dalam pengajaran semasa praktikum.
 5.3  Menyediakan panduan kepada guru pembimbing, pensyarah Jabatan     
        Sains, pensyarah pembimbing untuk memberikan bimbingan yang lebih   
        berkesan untuk membolehkan guru pelatih melaksanakan kemahiran
        proses sains dalam pengajaran
  5.4 Mengemukakan pandangan kepada pihak pengurusan Institut dan pihak 
        pengurusan dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada guru
        pelatih dalam melaksanakan pengajaran yang berkesan.
5.0   Batasan Kajian
Terdapat beberapa batasan kajian yang menjadi sempadan ke atas kajian ini antaranya ialah:
i.              Kajian ini hanya melibatkan dua orang guru pelatih yang sedang menjalani praktikum
ii.            Pengkaji tidak menetapkan kemahiran proses sains yang khusus.  Dengan kata lain semua kemahiran proses sains diperhatikan secara menyeluruh
iii.           Walaupun empat pemerhatian pengajaran dilakukan terhadap pengajaran yang dilakukan oleh guru pelatih namun hanya satu temubual yang dilakukan untuk mendapatkan data temu bual
iv.           Pengkaji tidak menentukan tajuk-tajuk tertentu dalam mata pelajaran sains tetapi bergantung pada tajuk yang diajar oleh guru pelatih dalam tempoh praktikum
v.            Kajian ini hanya melibatkan guru pelatih yang melaksanakan pengajaran untuk murid Tahun 5 sahaja.
7.0  Definisi Istilah
Kemahiran Proses Sains bermaksud kemahiran proses sains yang ditetapkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, terdiri daripada tujuh kemahiran proses sains asas dan lima kemahiran proses sains bersepadu, iaitu;
Kemahiran proses sains asas:
1.     Pemerhatian
2.     Mengelas
3.     Mengukur dan menggunakan nombor
4.     Membuat inferens
5.     Meramal
6.     Berkomunikasi
7.     Menggunakan perhubungan ruang dan masa
Kemahiran proses sains bersepadu:
1.    Mentafsir maklumat
2.    Mengawal pembolehubah
3.    Mendifinisi secara operasi
4.    Membuat hipotesis
5.    Mengeksperimen
Guru Pelatih Kursus Perguruan Lepas Ijazah merujuk kepada guru pelatih KPLI Ambilan Januari 2007 Institut Perguruan Kota Bharu

8.0  Methodologi Kajian
8.1 Kerangka Konsep Kajian
Lima kategori utama yang dicadangkan menjadi kerangka konsep dalam kajian ini, iaitu pengetahuan guru pelatih, kemahiran guru pelatih, sikap guru pelatih, bimbingan dan sokongan pihak pengurusan.  Walaupun pada peringkat awalnya pengkaji hanya menetapkan empat kategori sahaja namun kategori yang kelima  iaitu sokongan pelajar timbul apabila pengkaji membuat penganalisisan data.
8.2  Reka Bentuk Kajian
Pengkaji memilih kaedah penyelidikan kualitatif dan kuantitatif (ujian diagnostik) bagi menjawab persoalan kajian yang telah ditetapkan.  Empat teknik pengumpulan data yang digunakan ialah
i.              Tinjauan terhadap pengetahuan dan kefahaman guru pelatih terhadap kemahiran proses sains.  Ujian kemahiran proses sains dijadikan instrumen untuk mendiagnos tahap pengetahuan dan kemahiran  tersebut.
ii.            Pemerhatian terhadap pengajaran guru pelatih.  Pemerhatian ini dilakukan sebanyak empat kali iaitu bilangan yang sama untuk penyeliaan praktikum.  Selain untuk penyeliaan praktikum pemerhatian bertujuan untuk melihat pelaksanaan kemahiran proses sains semasa pengajaran yang dilakukan.
iii.           Teknik temubual semi struktur digunakan dalamm kajian ini, di mana guru pelatih ditemubual berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pemerhatian.  Data temubual merupakan data utama dalam kajian ini yang disokong oleh data-data yang lain.
iv.           Teknik analisis dokumen di mana pengkaji mendapatkan buru rancangan mengajar, lembaran kerja yang diberikan kepada murid semasa pengajaran dan jurnal guru pelatih dianalisis untuk mendapatkan maklumat tentang pelaksanaan kemahiran proses sains dalam pengajaran
8.3  Responden Kajian
Responden kajian terdiri daripada dua orang guru pelatih lelaki yang telah bersetuju untuk menjadi peserta kajian ini.  Pada peringkat awalnya pengkaji mensasarkan tiga orang responden kajian, namun setelah lapan minggu kajian dilakukan, responsen kajian yang ketiga, merupakan seorang guru pelatih perempuan menarik diri dari meneruskan kajian ini.  Ini merupakan fenomena biasa dalam kajian kualitatif.  Walaupun pengkaji telah melaksanakan isu-isu etika dan mendapatkan persetujuan secara bertulis tetapi pengkaji tidak boleh memaksa responden kajian terus terlibat sekiranya mereka ingin menarik diri dari meneruskan kajian tersebut.
8.4  Lokasi Kajian
Kajian ini dilakukan di sebuah sekolah kebangsaan di Daerah Kota Bharu, Kelantan
8.5  Instrumen Kajian
Instrumen kajian terdiri daripada :-
i.              Ujian diagnostik kemahiran proses sains
ii.            Soalan temubual semi struktur yang dijadikan panduan untuk melaksanakan temubual
iii.           Senarai semak pemerhatian juga sebagai panduan pemerhatian
iv.           Borang analisis dokumen
9.0  Dapatan Kajian
Perbincangan terhadap dapatan kajian merujuk kepada soalan-soalan kajian
yang telah ditetapkan.
i.              Apakah tahap  pengetahuan dan kefahaman guru pelatih terhadap penguasaan kemahiran proses sains?
ii.            Sejauh mana pelaksanaan kemahiran proses sains dalam kalangan guru pelatih semasa pengajaran sains?
iii.           Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pelaksanaan kemahiran proses sains dalam kalangan guru pelatih pengkhususan sains?
9.1  Pengetahuan kemahiran proses sains
Persoalan kajian pertama dijawab dengan menganalisis skor ujian diagnostik kemahiran proses sains guru pelatih.  Dalam ujian diagnostik tersebut pengkaji telah menetapkan gred seperti berikut:
                        81 – 100                     =          Pengetahuan KPS baik
                        61 – 100                     =          Pengetahuan KPS sederhana
                        41 – 60                       =          Pengetahuan KPS lemah
                          0 – 40                       =          Pengetahuan KPS sangat lemah
Skor yang diperolehi oleh responden kajian pertama (RK1) sebanyak  64 markah dan responden kajian 2 (RK2) sebanyak 70 markah.  Ini menujukkan bahawa pengetahuan kemahiran proses sains dalam kalangan guru pelatih yang menjadi responden kajian adalah sederhana.  Dari segi latar belakang, sebelum mengikuti  kursus perguruan RK1 adalah seorang jurutera yang pastinya berlatar belakangkan pendidikan sains sehingga ke peringkat universiti.  Manaka RK2 merupakan seorang ahli Biologi yang terlibat dengan kerja-kerja makmal secara langsung.  Namun pengetahuan mereka terhadap kemahiran proses sains adalah sederhana.  Persoalan yang timbul bagaimana pengetahun yang sederhana ini menyumbang ke arah pelaksanaan kemahiran proses sains dalam pengajaran sains sekolah rendah.
Analisis buku rancangan pengajaran harian RK1 dan RK2 juga mendapati bahawa guru pelatih  bermasalah memasukkan elemen-elemen kemahiran proses sains dalam penyediaan rancangan pengajaran harian.  Daripada 10 rancangan mengajar yang diteliti, tiga daripadanya terdapat elemen kemahiran proses sains di muka hadapan rancangan tersebut namun tidak dimasukkan dalam ruangan catatan pengajaran guru dan pembelajaran murid.  Daripada tiga yang dimasukkan, guru pelatih tidak dapat menjelaskan prosedur pelaksanaan kemahiran proses sains tersebut.  Dengan itu analisis rancangan pengajaran harian merupakan dapatan yang menujukkan RK1 khususnya mempunyai kefahaman yang sederhana tentang kemahiran proses sains.
Data temubual juga mendapati bahawa responden kajian mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang sederhana dalam kemahiran proses sains
Berdasarkan Transkrip temu bual:
“ Kalau ikutkan kefahaman saya…masih kurang puan, masih tak menentu, masih tak sistematik lagi pengetahuan saya. Tidak betul-betul boleh beza lagi”
             RK1/TB/ B60 –B62
9.2  Kemahiran proses sains dalam kalangan guru pelatih
Bagi menjawab soalan kajian yang kedua, dapatan kajian mendapati  RK1 mempunyai kemahiran yang rendah dalam melaksanakan  kemahiran proses sains semasa pengajaran sains.
” Tentang kemahiran proses sains ini, saya rasa banyak lagi perkara yang saya nak belajar dan nak berkongsi dengan pelajar”
RK1/TB/ B52 –B55
Walau bagaimanapun RK2 mempunyai lebih kemahiran proses sains berbanding dengan RK1 tetapi masih berada dalam tahap yang rendah.
” Kalau dari segi kemahiran proses sains, saya ni dah biasa dengan makmal, saya memang faham dan rasa-rasa saya menguasai kemahiran  proses tersebut.  Perkara yang kita dah buat.  ”
RK2/TB/ B72 –B74
” Saya selalu berada di makmal dan mengendalikan peralatan makmal.  Jadi perkara itu tidak menjadi masalah”
   RK2/TB/ B83 –B8
9.3  Faktor yang mempengaruhi pelaksanaan kemahiran proses sains
Terdapat beberapa faktor yang telah dikenalpasti melalui kajian yang mempengaruhi pengetahuan dan kemahiran proses sains dalam kalangan pelajar.
Faktor itu adalah;
i)  Sikap Guru Pelatih dalam pelaksanaan kemahiran proses sains
Dapatan kajian menunjukkan bahawa RK1 dan RK2 mempunyai sikap yang positif dalam pelaksanaan kemahiran proses sains semasa pengajaran sains di sekolah rendah.  
Sikap positif yang ditunjukkan ialah usaha untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang baru.  Guru pelatih berusaha untuk melaksanakan perkara dengan terbaik serta keghairahan dan motivasi yang tinggi untuk menimba ilmu untuk menjadikan pengajaran sains yang berkesan.
“ saya memang suka buat eksperimen dan ada eksperimen yang saya reka sendiri.  Tiap-tipa minggu pelajar mesti buat eksperimen.  Rasanya lebih 17 kali saya buat eksperimen dalam tempoh 10 minggu  praktikum”
                                                                                                      RK2/TB/ B106 – B109
ii)  Bimbingan Guru pembimbing dan Pensyarah Pembimbing
Guru pelatih mendapat bimbingan secara umum dari guru pembimbing bukan fokus kepada kemahiran proses sains.
“Guru pembimbing sangat menggalakkan dan membantu kami untuk menggunakan peralatan di makmal tetapi tidak berfokus kepada kemahiran proses sains yang lebih khusus”
iii)  Sokongan pihak pengurusan
Tentang peralatan tidak menjadi masalah kerana mendapat sokongan dan bantuan dari pihak guru pembimbing dan pihak pengurusan sekolah.
”Peralatan dan kelengkapan di sekolah itu banyak sungguh, lengkap dan disusun dengan sistematik”
RK1/TB/B42 –B44
iv)  Beban Tugas
Kedua-dua respondem menyatakan bahawa terdapat banyak tugas atau kerja yang perlu dilaksanakan semasa sesi pengajaran yang menyebabkan tiada masa untuk persediaan serta ulangkaji, dan ini mempengaruhi tahap pengetahuan.
” Banyak sangat benda yang saya nak lakukan, tapi tak sempat”. 
RK1/TB/B42 –B44
10.0  Rumusan dan Cadangan
Walaupun kajian ini merupakan satu kajian kes yang ringkas, namun dapatan kajian ini boleh dijadikan bahan refleksi khususnya untuk pensyarah penyelia dan guru pembimbing dalam meningkatkan lagi kualiti bimbingan yang perlu diberikan kepada guru pelatih.  Dapatan kajian ini mendapati tahap pengetahuan dan kefahaman guru pelatih terhadap penguasaan kemahiran proses sains berada pada tahap sederhana manakala tahap pelaksanaan kemahiran proses sains pula berada pada tahap yang rendah. Oleh itu kedua-dua aspek pengetahuan dan kefahaman guru pelatih terhadap penguasaan kemahiran proses sains serta pelaksanaan kemahiran proses sains perlu diberi penekanan yang lebih khususnya semasa menyediakan perancangan dan semasa interaksi dalam bilik darjah.
Pekara utama yang perlu diberi pertimbangan oleh pensyarah penyelia dan guru pembimbing semasa memberi bimbingan adalah bimbingan perlu lebih berfokus kepada tujuh kemahiran proses sains asas dan lima kemahiran proses sains bersepadu.
Peralatan dan kelengkapan makmal di sekolah disediakan dengan lengkap, tersusun dan bersistematik. Dengan itu sepatutnya ia dapat dimanfaatkan oleh guru pelatih semasa menjalani praktikum dalam membina pengetahuan serta penguasaan kemahiran proses sains.



RUJUKAN

     Bloom, B. S. , Hasting, J. T., Madaus, G. F. (1971).   Handbook of Formative and summative evaluation of student learning. New York: Mc Graw Hill.

            Bonnie, B. B. (1994). Research on problem solving: Elementary School. In D.L.  Gabel, (Eds.). Handbook of Research on Science Teaching and Learning. (pp. 237 – 247). New York : Macmillan.

            Brotherton, P. N. & Preece, P. F. W. (1996). Teaching Science Process Skills. International Science Education. 18 (1), 65 – 74.         
           
            Carin, A. A. (1993). Teaching Science Through Discovery (7 th. ed.). Sydney: Queen College Press.
           
            Chiappetta, E.L. , Koballa, T. R. , Collette, A. T. (1998). Science instruction in the middle and secondary schools. New York : Macmillan.        
     
      Jack, H. (1990). Science Experiences: Cooporative Learning and Teaching Science. Addison:  Wesley.

      Kementerian Pendidikan Malaysia. (1993). Huraian Sukatan Sains Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

      Lim, T. E. & Cheah, B. L. (1987). Dapatan-dapatan kajian KBSR. Persidangan Tahunan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan Kementerian Pendidikan Malaysia.
         
            Lee, L. L. (1991). Acquisition science process skills and its relationship to cognitive development. Tesis sarjana pendidikan tidak diterbitkan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

            Martin, E. R. ,Sexton, C. , Wagner, K. , Gerlovish, J. (1994). Teaching science for all children. Boston : Library of Congress.

            Livermore, A. H. (1964). The Process approach of AAAS commission of science education. Journal of Research in Science Teaching, 2. 271-282.

            Miller, K. W. , Stenley, F. S. , Carolyn, D. L. (1996). Strategi for science learning . Science and Children 18(3), 24-27.

            Weber, M. C. & Renner, J. W. (1972).  How effective is the SCIS science program? – one evaluation.  School Science and Mathematics, 72, 729 – 734.


2 comments:

  1. Satu kajian yang berguna dan bermaanfaat bagi guru yang mengajar di pedalaman.

    ReplyDelete
  2. Sy berminat dengan kajian Tuan. Adakah kajian ini diterbitkan dalam mana2 penerbitan? Saya ingin mengambil sebagai rujukan kerana saya sedang membuat kajian berkaitan 'Teacher Knowledge' dalam KPS.

    ReplyDelete